
Perpindahan Fabio Quartararo ke Honda bagi musim MotoGP 2027 bukan sahaja melibatkan pertukaran pasukan, malah turut menyaksikan perubahan besar dalam barisan teknikal apabila juara dunia MotoGP 2021 itu dilaporkan akan berpisah dengan crew chief yang telah bersamanya sejak debut di kelas premier.
Menurut laporan Motorsport, Quartararo dan Diego Gubellini dijangka menamatkan kerjasama mereka sebaik sahaja musim 2026 berakhir. Gandingan tersebut telah bersama sejak Quartararo menyertai MotoGP pada 2019 bersama Yamaha dan berjaya menghadiahkan kejuaraan dunia pada musim 2021.
Bagi menghadapi cabaran baharu bersama Honda, Quartararo dijangka akan dipadankan dengan Christian Pupulin sebagai crew chief.
Pupulin kini merupakan crew chief kepada Luca Marini di pasukan kilang Honda, namun beliau memiliki pengalaman luas bersama Ducati dan KTM. Sepanjang kariernya, Pupulin pernah menjadi crew chief kepada Jack Miller ketika bersama Ducati dan KTM, selain pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar seperti Nicky Hayden dan Andrea Dovizioso ketika berkhidmat di Ducati.
Selain membawa masuk Pupulin, Quartararo turut dilaporkan akan membawa bersama jurutera tayar Yamaha, Ignacio Madurga, ke Honda bagi memastikan kesinambungan dari aspek pembangunan dan analisis prestasi.
Dalam perkembangan sama, Honda masih belum memutuskan siapakah yang akan menjadi rakan sepasukan Quartararo bagi musim 2027. Dua calon utama ketika ini ialah pelumba LCR Honda, Diogo Moreira, atau juara Moto2 yang bakal naik ke MotoGP, David Alonso.
Sementara itu, Joan Mir yang akan meninggalkan Honda pada penghujung musim ini dilaporkan bakal menyertai Gresini Ducati, sekali gus kembali bergandingan dengan Frankie Carchedi, pasangan yang pernah membantunya merangkul gelaran juara dunia MotoGP bersama Suzuki pada musim 2020.
Perubahan ini menunjukkan Honda bukan sekadar mendapatkan khidmat Fabio Quartararo, malah turut membentuk semula struktur teknikal pasukan bagi memperkukuhkan projek mereka menjelang era baharu MotoGP 2027.
The post Fabio Quartararo Bakal Berpisah Dengan Crew Chief Selepas Tujuh Musim, Honda Pilih Bekas Crew Chief Ducati Untuk 2027 appeared first on TW Media.


