Red Bull dan KTM Terus Perkukuh Kerjasama, Sah Lanjut Kontrak MotoGP Bermula 2027

10 Jul 2026 • 11:51 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Red Bull dan KTM Terus Perkukuh Kerjasama, Sah Lanjut Kontrak MotoGP Bermula 2027

KTM dan Red Bull mengesahkan kerjasama mereka dalam saingan MotoGP akan diteruskan selepas kedua-dua jenama ikonik dari Austria itu mencapai persetujuan lanjutan kontrak yang menyaksikan jentera Red Bull KTM Factory Racing terus membawa livery terkenal Red Bull bermula musim 2027.

Kerjasama antara KTM dan Red Bull telah terjalin selama lebih 25 tahun, merentasi pelbagai disiplin perlumbaan termasuk motocross, supercross, enduro, Dakar, rally dan MotoGP sejak penyertaan KTM dalam kelas perdana itu pada tahun 2017.

Sepanjang kerjasama tersebut, Red Bull KTM telah menikmati pelbagai kejayaan dalam perlumbaan Grand Prix. Dalam tempoh sedekad lalu, mereka muncul juara dalam kategori Moto3 dan Moto2, selain mencatatkan 7 kemenangan serta 38 podium MotoGP, termasuk 26 podium Sprint, menerusi jentera KTM RC16.

Di samping kejayaan di litar, kedua-dua jenama turut memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat baharu menerusi Red Bull MotoGP Rookies Cup dan program KTM GP Academy, yang menjadi platform melahirkan pelumba-pelumba muda ke pentas Kejuaraan Dunia.

Musim 2027 juga bakal membuka lembaran baharu buat MotoGP dengan pengenalan peraturan teknikal baharu. Dalam era baharu itu, Red Bull KTM Factory Racing akan terus menjadi antara pasukan utama di grid dengan identiti jingga dan livery Red Bull yang sinonim dengan pasukan tersebut.

Pengarah KTM Motorsports, Pit Beirer, berkata hubungan antara KTM dan Red Bull jauh melangkaui sekadar penajaan.

“Red Bull dan KTM sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ia merupakan kerjasama yang telah berlangsung begitu lama dan lebih daripada sekadar warna pada motosikal. Red Bull menyokong kami dalam pelbagai aspek, sama ada di litar mahupun di sebalik tabir. Kami amat gembira kerana dapat meneruskan kerjasama ini dan membawa semangat Austria ke arena perlumbaan, khususnya MotoGP. Kami masih mempunyai banyak sasaran untuk dicapai bersama.”

Dengan lanjutan kerjasama ini, Red Bull dan KTM dijangka terus memperkukuh kedudukan mereka sebagai antara gandingan paling berjaya dan dikenali dalam dunia perlumbaan motosikal antarabangsa.

The post Red Bull dan KTM Terus Perkukuh Kerjasama, Sah Lanjut Kontrak MotoGP Bermula 2027 appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved