
Musim 2025 membuktikan satu perkara yang jelas, Fabio Quartararo masih pelumba kelas dunia, cuma Yamaha yang sudah kehabisan senjata. Dia bukan sekadar berlumba, tetapi seolah-olah menampal kelemahan M1 Inline-4 yang semakin sukar untuk bersaing. Paling menarik, perkara ini bukan datang daripada wartawan atau peminat, tetapi daripada rakan sepasukan sendiri, Jack Miller, yang sudah melalui pengalaman bersama Honda, Ducati dan KTM.
Fabio Quartararo menamatkan musim lapan kedudukan di hadapan Miller, menjadi satu-satunya pelumba Yamaha yang naik podium, hampir menang di Britain, meraih lima pole dan berada di tempat ketiga BMW Award. Yang lain? Miller mencatat keputusan maksimum tempat keempat, Rins ketujuh, Oliveira kesembilan. Jurangnya terlalu besar untuk dianggap biasa.
Miller mengakui bakat Quartararo memang luar biasa, tetapi masalah utama ialah motosikal. M1 2025 sukar untuk berlumba dalam kelompok. Nak membrek lewat susah, nak menutup ruang pun susah, apatah lagi nak menyerang. Kalau mahu memotong, biasanya hanya boleh berharap pihak lawan buat silap.
Di sinilah dilema Quartararo. Dia boleh jadi “pembunuh” pada hari Sabtu, tetapi pada hari Ahad, tangannya terikat. Dia ada kelajuan, ada keberanian, tapi motosikal tidak memberi sokongan yang sama.
Sebab itulah peralihan ke enjin V4 pada 2026 sangat dinanti-nantikan. Ia bukan soal teknologi semata-mata, tetapi soal memberi semula senjata kepada pelumba yang masih berada di kemuncak bakatnya.
Persoalan paling pedih sekarang ialah berapa banyak kemenangan yang Quartararo terlepas hanya kerana jentera yang tidak mampu bertarung dan apa yang akan berlaku bila bakat ini akhirnya dipadankan dengan jentera Yamaha yang benar-benar sedia untuk berlumba?
Teruskan bersama Two Wheels..!
📷 MotoGP



