FACB Industries terima tawaran pengambilalihan berharga RM1.60 sesaham

LocalBusiness & Finance
21 Jul 2025 • 5:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

FACB Industries terima tawaran pengambilalihan berharga RM1.60 sesaham

image is not available

21/07/2025 - 17:23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - FACB Industries Incorporated Bhd telah menerima tawaran pengambilalihan bernilai RM134 juta daripada anak kepada pengasas syarikat itu.

Menurut notis pengambilalihan, Chen Yiy Fon, anak kepada taikun kasino Chen Lip Keong, membuat tawaran tersebut pada harga RM1.60 sesaham dan tawaran itu mewakili premium sebanyak 42% berbanding harga terakhir saham tersebut yang jarang didagangkan itu.

Saham FACB Industries meningkat sehingga 29% kepada RM1.46 — paras tertinggi sejak tahun 2021 — selepas pengumuman tersebut.

Pemegang saham mempunyai masa sehingga 10 Ogos ini untuk mempertimbangkan tawaran bersyarat itu.

Tawaran itu akan menjadi tidak bersyarat sebaik sahaja lebih separuh daripada pemegang saham menerima tawaran pengambilalihan tersebut, yang akan membawa kepada penyahsenaraian FACB Industries, kerana Yiy Fon tidak akan mengambil sebarang langkah untuk menangani kekurangan dalam pegangan saham awam pengeluar tilam itu.

Yiy Fon yang juga menganggotai lembaga pengarah syarikat tersenarai di Hong Kong, NagaCorp Ltd, kini merupakan Pengarah Urusan dan pemegang saham utama dalam FACB Industries melalui entiti swasta.

Beliau pada masa ini tidak memiliki sebarang saham secara langsung atau tidak langsung dalam FACB Industries.

Ibunya, Lee Chou Sarn, dan mendiang bapanya bersama-sama memegang kira-kira 31% saham dalam FACB Industries dan dianggap sebagai pihak yang bertindak secara bersama dengan yiy Fon di bawah undang-undang pasaran modal.

Keuntungan FACB Industries merosot dalam dua tahun kewangan terakhir yang berakhir pada bulan Jun. Bagi suku terkini berakhir 31 Mac 2025 (3QFY25), syarikat tersebut mencatatkan untung bersih RM1.7 juta daripada hasil sebanyak RM8.98 juta, disebabkan oleh jualan tilam yang lemah di Malaysia. - DagangNews.com

standard