Saham syarikat Sarawak diyakini terima manfaat rangsangan pembangunan menjelang pilihan raya - CIMB Securities

LocalPolitics
21 Jul 2025 • 3:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham syarikat Sarawak diyakini terima manfaat rangsangan pembangunan menjelang pilihan raya - CIMB Securities

image is not available

21/07/2025 - 15:28

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Minat pelabur terhadap saham-saham berkaitan Sarawak diyakini meningkat pada suku-suku tahun akan datang apabila negeri itu meningkatkan pembangunan infrastruktur tenaga bersih menjelang pilihan raya negeri yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada April 2027.

CIMB Securities berkata, belanjawan negeri yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM15.8 bilion untuk tahun 2025 — dengan hampir 70% diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan — bersama dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) boleh menjadi pemangkin kepada saham-saham berkaitan.

“Kami menjangkakan minat pelaburkan meningkat terhadap saham-saham berkaitan Sarawak menjelang pilihan raya negeri,” katanya dalam satu nota kajian.

Antara syarikat yang dijangka menerima manfaat termasuk Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd, Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS), Ibraco Bhd, CCK Consolidated Holdings Bhd dan Supreme Consolidated Resources Bhd.

Gamuda dilihat sebagai calon utama untuk memperoleh kontrak jalan raya bernilai RM1 bilion, manakala IJM sedang mengukuhkan semula kehadirannya melalui dua kontrak di bawah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Ibraco telah berkembang ke dalam pengeluaran paip air dan asfalt, selari dengan inisiatif naik taraf grid air Sarawak bernilai RM4 bilion. Buku tempahan semasa syarikat itu berjumlah RM962 juta, dengan kerja yang sedang berjalan termasuk projek jambatan dan jalan Samarahan serta Laluan Biru KUTS.

CIMB Securities berkata, skala perbelanjaan pembangunan di bawah PCDS 2030 boleh mewujudkan peluang yang signifikan bagi syarikat tersenarai yang mempunyai operasi atau pendedahan rantaian bekalan di Sarawak.

CMS antara syarikat tersenarai tertua di negeri itu, merupakan satu-satunya pengeluar simen bersepadu di Sarawak dan baru-baru ini memperoleh kontrak bernilai RM550 juta untuk membina Pusat Konvensyen Borneo II.

Syarikat itu juga sedang memperluas kapasiti pengeluaran klinker dan memegang konsesi penyelenggaraan jalan raya yang meliputi 3,300 kilometer jalan negeri sehingga tahun 2029.

CIMB turut memaklumkan, saham CMS kini diniagakan pada diskaun 60% berbanding nilai buku, dengan kumpulan tersebut disokong oleh kedudukan tunai bersih hampir RM500 juta setakat 31 Mac.

Dalam sektor pengguna, pengedar makanan CCK dan Supreme dijangka meraih manfaat daripada peningkatan pendapatan boleh guna dan pertumbuhan penduduk.

CCK mengendalikan 79 cawangan di seluruh Sabah dan Sarawak, mengekalkan baki tunai bersih sebanyak RM201 juta dan menyasarkan pembukaan tiga hingga empat kedai baharu setiap tahun.

Supreme pula sedang memperluas kapasiti gudangnya di Kuching sebanyak 162% dan sahamnya diniagakan pada diskaun 13% berbanding nilai aset ketara bersih sebanyak 27 sesaham. - DagangNews.com

standard