Fadhli Shaari persoal mengapa AGC diam dalam isu pembatalan lantikan EXCO N9?

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 11:03 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Ahmad Fadhli Shaari menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan berhubung status pembatalan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang didakwa berlaku lebih awal sebelum tercetusnya isu berkaitan proklamasi serta penggantungan pegawai kanan kerajaan negeri.

Image from: Fadhli Shaari persoal mengapa AGC diam dalam isu pembatalan lantikan EXCO N9?

Beliau berkata, AGC sebelum ini dilihat segera mengeluarkan kenyataan berhubung kesahan proklamasi yang ditandatangani Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, tindakan sama turut dilakukan AGC apabila timbul isu penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Dalam isu penggantungan SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri, AGC cepat mengeluarkan kenyataan.
“Tetapi dalam isu pembatalan pelantikan Exco Negeri Sembilan yang berlaku lebih awal, mengapa AGC berdiam diri? Sah atau tidak, AGC perlu mengeluarkan penjelasan mengenai perkara itu juga,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Jumaat.

Sebelum ini, AGC dalam kenyataannya menjelaskan bahawa Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

AGC turut menyatakan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Menurut AGC, urusan berkaitan pelantikan serta penggantungan kedua-dua jawatan itu masing-masing tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berpandangan penjelasan AGC berhubung isu pembatalan pelantikan Exco itu penting bagi memastikan kedudukan dari sudut perundangan dapat diperjelaskan.

Artikel lain: Kamu ada kuasa buatlah apa sahaja, tiba masa kamu pula di bawah nanti! – Fadhli Shaari

Katanya, perkara tersebut juga berpotensi menjadi rujukan kepada kerajaan negeri lain sekiranya isu sama berlaku pada masa akan datang.

“Perkara ini boleh menjadi panduan kepada negeri-negeri lain pada masa akan datang. Sebab itu penjelasan yang jelas dan menyeluruh amat diperlukan,” tambahnya lagi.

Sumber: Facebook Fadhli Shaari

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved