
MELAKA: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 individu penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Fadhlina mengetuai senarai 10 penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat yang berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh berkata, antara penerima DGSM ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail.
“Turut menerima darjah berkenaan ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas, Datuk Seri Sazali Hamzah dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salhah berkata, pada istiadat sama, seramai 56 penerima dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Beliau berkata, antara penerima DCSM ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Mohd. Sumali Reduan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamin dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Katanya, sementara itu, seramai 14 individu menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk antaranya Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Al Hambra Juhar; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Suria Kumar Durairaj Johnson Paul dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Sani S. Omar.
“Bagi kategori Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pula, seramai 189 individu menerima anugerah berkenaan antaranya penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Roziana Zain atau lebih dikenali sebagai Ziana Zain,” ujarnya.
Menurutnya, turut menerima DPSM ialah Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail dan Pengarang Kumpulan Berita dan Pengarah Rangkaian Televisyen (Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa), Datuk Azhari Muhidin.
Secara keseluruhan, seramai 1,328 penerima menerima penganugerahan darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri bagi tahun ini yang berlangsung dalam tiga sesi pada 24 dan 26 Ogos.
Penganugerahan turut membabitkan lima penerima Jaksa Pendamai, 106 penerima Darjah Seri Melaka (DSM), 151 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 244 penerima Bintang Khidmat Terpuji, 386 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 161 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan lima penerima Pingat Khidmat Lama (PKL). – UTUSAN
The post Fadhlina Sidek kini bergelar Datuk Seri, Ziana Zain dapat Datuk appeared first on Utusan Malaysia.





