Menteri Pendidikan Dahului Senarai Penerima Darjah Tauliah, Bintang Dan Pingat Melaka

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 1:48 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Menteri Pendidikan Dahului Senarai Penerima Darjah Tauliah, Bintang Dan Pingat Melaka

MELAKA, 24 Ogos (Bernama) -- Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran bersempena dengan Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hari ini.

Fadhlina menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima gelaran sama antaranya Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman.

Selain itu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas Datuk Seri Sazali Hamzah serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.

Sebanyak 56 individu menerima anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut Datuk Mohd Sumali Reduan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Baca juga:

Sebanyak 14 individu pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Al Hambra Juhar, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Suria Kumar A/L Durairaj Johson Paul dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Mej Jen Datuk Sani S Omar.

Sebanyak 189 penerima dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk iaitu kepada Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian TV Media Prima Berhad Datuk Azhari Muhiddin dan penyanyi kelahiran Merlimau, Jasin iaitu Datuk Siti Roziana Zain atau Ziana Zain.

Dalam kategori lain, sebanyak lima individu ditauliahkan Jaksa Pendamai manakala 106 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (D.S.M).

Turut dianugerahkan ialah Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) kepada 151 penerima, Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) (244 penerima), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K)(386 penerima), Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M)(161 penerima) dan Pingat Khidmat Lama (P.K.L)(lima penerima).

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh memaklumkan keseluruhannya penganugerahan itu mencerminkan penghargaan Melaka terhadap individu yang telah memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang serta memainkan peranan dalam pembangunan dan kesejahteraan negeri.

Beliau berkata pelaksanaan Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka 2026 diselaraskan bersama semua agensi berkaitan serta mematuhi prosedur dan tatacara ditetapkan bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan penerima serta tetamu sepanjang istiadat berlangsung.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved