Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan kerajaan di bawah pentadbiran MADANI tidak akan menutup mana-mana sekolah vernakular di Malaysia. Beliau berkata jaminan itu berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada, khususnya Akta Pendidikan 1996 yang mengiktiraf kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).
“Kadang-kadang ada cerita tular bahawa sekolah Tamil akan ditutup. Di hadapan Datuk Seri Ramanan, di hadapan tuan-tuan dan puan-puan, saya beri jaminan bahawa kerajaan ini tidak akan menutup mana-mana SJKT. Kalau ada berita meragukan, semak dengan kami dulu,” katanya.
Beliau turut menegaskan pengiktirafan sekolah vernakular telah termaktub dalam akta, maka ia tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan.
Baca juga:
Fokus pada pembangunan semula sekolah Tamil
Dalam masa sama, Fadhlina turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan sedang mempercepatkan pembangunan semula lima SJKT yang memerlukan tindakan segera, termasuk SJKT Sungai Bakap, Pulau Pinang dan SJKT Ladang Jeram, Pahang.
Beliau berkata, isu sekolah-sekolah berkenaan telah berlarutan terlalu lama dan perlu diselesaikan segera bagi memastikan murid mendapat kemudahan pembelajaran selayaknya. Projek pembinaan SJKT Sungai Bakap dilaporkan tergendala sejak 2015, manakala murid SJKT Ladang Jeram kini terpaksa belajar di dalam kontena yang diubah suai menjadi bilik darjah.
Majlis Peluncuran Penyerahan Smart Board kepada 387 SJKT seluruh negara yang dirasmikan beliau di SJK (T) Vivekananda, Brickfields turut menandakan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh sistem pendidikan vernakular.
Sumber: Astro Awani
The post Fadhlina tegaskan, tiada sekolah vernakular akan ditutup bawah Kerajaan MADANI appeared first on The Reporter.



