'Fahami perlembagaan sendiri sebelum salahkan kerajaan' - AMK

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 9:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Fahami perlembagaan sendiri sebelum salahkan kerajaan' - AMK
Danish Hairudin (gambar kecil) mengingatkan Ahmad Samsuri supaya memahami dan mematuhi perlembagaan gabungan itu sebelum menyalahkan kerajaan berhubung pembatalan pendaftarannya.

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar supaya memahami dan mematuhi perlembagaan gabungan itu sebelum menyalahkan kerajaan berhubung pembatalan pendaftarannya.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, Naib Presiden Pas itu sepatutnya menjelaskan isu pematuhan perlembagaan PN susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan bukan menyifatkannya sebagai luar tabii serta mendakwa kerajaan ketakutan.

"Yang luar tabii ialah apabila pengerusi gabungan begitu lantang menuding jari, tetapi seolah-olah tidak memahami perlembagaan gabungannya sendiri.

"Notis RoS bertarikh 22 September 2026 telah dijawab PN dan menurut RoS, penjelasan itu gagal menyangkal asas pembatalan. Itu yang beliau sebagai pengerusi jawab dan bukan mengalihkan dengan cerita kerajaan takut," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Selasa.

Ahmad Samsuri dalam respons mengenai pembatalan pendaftaran PN oleh RoS menyifatkan, ia satu tindakan luar biasa dan bermotifkan ketakutan pihak tertentu.

​Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, apa yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah adalah satu tindakan luar biasa, malah boleh jadi luar tabii.

Dalam pada itu Danish turut menggesa PN mendedahkan notis berkenaan serta jawapan yang dikemukakan kepada RoS supaya rakyat boleh menilai pihak yang sebenarnya gagal menjalankan tanggungjawab.

"Yang bergaduh sesama sendiri itu kamu, tetapi orang luar pula dituduh menjadi punca.

"Beria-ia mahu mengurus negara, sedangkan rumah tangga sendiri berkecamuk pun masih sibuk mencari siapa hendak dipersalahkan," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved