
KUALA LUMPUR – Kerajaan masih meneruskan rundingan berhubung tuntutan susulan pembatalan perolehan sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) sebelum mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap syarikat pembekal terbabit.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan masih berusaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan dengan pihak berkaitan.
“Sekarang masih dalam rundingan. Kalau kita tidak dapat mencapai sebarang persetujuan, perkara itu akan dirujuk untuk tindakan saman atau timbang tara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemeterian Nota Kerjasama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) serta Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran di bawah Inisiatif MyBakat Veteran, di sini hari ini.
Sebelum ini, Mindef dan Kementerian Luar telah menghantar notis serta surat rasmi kepada kerajaan Norway bagi memaklumkan pendirian Malaysia berhubung pembatalan perolehan NSM yang dibangunkan syarikat negara itu, Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA).
Mohamed Khaled berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan kerajaan Norway memainkan peranan sebagai pengantara bagi sebarang tindakan yang bakal diambil Malaysia terhadap syarikat pembekal berkenaan.
Terdahulu, beliau menegaskan Malaysia akan meneruskan tindakan saman terhadap KDA susulan kegagalan syarikat itu menghantar aset pertahanan berkenaan selepas kerajaan Norway membatalkan lesen eksportnya.
Pendirian itu dikekalkan meskipun rakan sejawatannya dari Norway, Tore O. Sandvik, sebelum ini menyatakan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaan negara tersebut membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia. – KOSMO! ONLINE
The post Isu NSM: Rundingan masih berjalan, belum putus tindakan undang-undang appeared first on Kosmo Online.





