Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Kalau sebelum ini orang ramai sudah dimaklumkan mengenai keperluan mengemas kini telefon bagi menerima amaran kecemasan Sistem Amaran Awal Nasional (EWS), sistem berkenaan kini secara rasminya dikenali sebagai MySiren.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini menyempurnakan majlis pelancaran sistem tersebut di Bangunan Parlimen Malaysia sebagai usaha memperkukuh penyampaian amaran kecemasan terus ke telefon bimbit orang ramai.
Sempena pelancaran itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut melaksanakan simulasi MySiren di pekarangan Bangunan Parlimen bagi menguji keupayaan sistem menyalurkan mesej berserta bunyi amaran secara langsung ke telefon serasi di kawasan berkenaan.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara pula dijadualkan berlangsung pada 29 November 2026.
“Simulasi ini merupakan susulan kepada ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC, Cyberjaya pada 19 November 2026. Seterusnya, ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara dijadualkan berlangsung pada 29 November 2026.”
Tak Perlu Muat Turun Aplikasi & Tetap Berbunyi Walaupun Mod Senyap!
Untuk pengetahuan korang, MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) menerusi rangkaian mudah alih 4G dan 5G untuk menyalurkan amaran keselamatan penting seperti banjir, tsunami, cuaca buruk atau ancaman keselamatan awam.
Menariknya, amaran ini mampu sampai dalam tempoh kurang daripada satu minit berbanding SMS pukal biasa yang boleh mengambil masa sehingga sejam atau lebih. Paling penting, korang tidak perlu memuat turun sebarang aplikasi tambahan, mendaftar atau menggunakan kuota data internet dan Wi-Fi untuk menerimanya.

Mesti ramai yang tertanya-tanya macam mana bunyinya nanti, kan? Bagi kategori kecemasan tahap tinggi seperti National Alert dan Extreme Alert, telefon korang akan tetap mengeluarkan bunyi amaran kuat seakan-akan siren berserta getaran walaupun peranti berada dalam mod senyap (Silent) atau Jangan Ganggu (Do Not Disturb).
Selain itu, korang juga tak perlu risau soal privasi sebab teknologi Cell Broadcast ini tidak mengumpul nombor telefon, maklumat peribadi atau menjejak lokasi tepat pengguna secara individu.
Semak Versi Telefon & Tetapan Sekarang
Bagi memastikan telefon korang sedia menerima amaran semasa ujian seluruh negara pada 29 November nanti, MCMC menyarankan orang ramai supaya mengemas kini sistem operasi peranti masing-masing kepada versi minimum yang ditetapkan. Bagi pengguna Apple, peranti yang digunakan mestilah iPhone 11 dan model lebih baharu dengan sistem operasi iOS 27.2 atau versi terkini.
Sementara itu, pengguna Android pula perlu menggunakan Android 12 atau versi lebih terkini, manakala pengguna peranti Huawei hendaklah memastikan telefon mereka menggunakan EMUI 16 atau versi terkini.

Selepas selesai kemas kini dan restart telefon, jangan lupa semak bahagian Settings untuk pastikan tetapan amaran kecemasan diaktifkan dan cari Government Alerts bagi pengguna iPhone, manakala pengguna Android dan Huawei boleh semak di bahagian Wireless Emergency Alerts.
MCMC juga akan terus bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan sistem ini bersedia beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai MySiren boleh melayari laman rasmi di sini atau mengikuti saluran media sosial rasmi MCMC.
Sumber: Siaran Media & Soalan Lazim (FAQ) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.




