
SEJAK kecil, Faiz Safwan Safrizak, 23, sangat meminati bidang melibatkan kemahiran teknikal dan praktikal. Disebabkan itu, keluargannya memberi sokongan penuh untuk meneruskan pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Faiz Safwan atau lebih mesra disapa sebagai Faiz pada mulanya melanjutkan pengajian di Kolej Vokasional (KV) Kluang, Johor dalam bidang Teknologi Penyejukbekuan dan Penyelenggaraan (HVAC) dan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga.
Kemudian, pemuda berasal dari Simpang Renggam, Johor itu meneruskan pengajian Diploma Tenaga Pengajar di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) selama setahun.
“Selepas tamat belajar di KV, saya bekerja di sebuah pasar raya, sementara menunggu kerja tetap. Melihat kepada minat saya sebagai guru, arwah ayah menyarankan saya menyambung pengajian diploma di CIAST.
“Kini, saya bekerja sebagai juruteknik yang memberi fokus kepada pendingin hawa di Klinik Kesihatan Simpang Renggam.
“Sudah lebih setahun saya bekerja di sini untuk mengumpul pengalaman sambil menunggu peluang untuk menyertai bidang pengajaran dalam bidang TVET,” katanya kepada K-Kampus.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, antara skop tugas sebagai juruteknik di klinik tersebut adalah membuat penyelenggaraan dan pemeriksaan sistem pendingin hawa serta pengudaraan.
“Kalau berlaku kerosakan, saya akan buat penyelesaian masalah (troubleshooting) untuk kenal pasti punca masalah sebelum melakukan kerja-kerja membaik pulih.
“Selain itu, saya juga perlu memastikan sistem pendingin hawa sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan kerana ia melibatkan operasi di klinik,” ujarnya.
Tambah Faiz, dia berasa sangat seronok apabila sesuatu masalah itu dapat diselesaikan, sekali gus memberi kepuasan kepadanya.
“Contohnya, apabila ada pendingin hawa yang rosak, saya akan periksa untuk cari punca masalah dan cuba baiki sampai sistem itu supaya kembali berfungsi.
“Apabila berjaya, memang rasa puas. Selain itu, bidang ini juga memberi saya peluang untuk belajar benda baharu dan tambah pengalaman.
“Lagi banyak kemahiran yang kita ada, lagi banyak peluang yang kita boleh dapat pada masa akan datang. Lebih-lebih lagi, saya bercita-cita mahu menjadi pendidik dalam bidang TVET,” katanya.
Tambah Faiz, dia mahu menggunakan pengalaman yang dikumpul dalam pekerjaan untuk membantunya mengajar dan berkongsi kemahiran dengan para pelajar kelak.
Mengulas mengenai cabaran sebagai juruteknik pendingin hawa, Faiz berkata, dia perlu berdepan dengan kerosakan yang susah untuk dikenal pasti.
“Jadi, tugas kami sebagai juruteknik perlu periksa satu persatu dan fikir dengan teliti sebelum buat keputusan.
“Sebagai juruteknik, kami juga perlu sentiasa bersiap sedia untuk dipanggil membaiki kerosakan.
“Sehubungan itu, kami perlu bijak mengurus masa, bekerja dengan teliti, dan paling penting sentiasa menjaga keselamatan,” ulasnya.
Pada masa hadapan, Faiz mahu terus membina kerjaya dalam bidang TVET, khususnya sebagai pengajar.
“Saya juga mahu terus meningkatkan kelayakan dan kemahiran supaya boleh berkembang lagi dalam bidang ini seperti mendapatkan sijil tambahan dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Matlamat saya bukan sahaja untuk mempunyai kerjaya yang stabil, malah mahu berkongsi ilmu dan kemahiran dengan generasi akan datang,” katanya.
The post Faiz tanam hasrat jadi guru TVET appeared first on Kosmo Online.






