Fajarbaru, PDC meterai MoU untuk bangunkan Medi-City Bandar Cassia

27 Jun 2023 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Fajarbaru, PDC meterai MoU untuk bangunkan Medi-City Bandar Cassia

zulfadli

27/06/2023 - 18:15

KUALA LUMPUR 27 Jun - Fajarbaru Builder Group Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Penang Development Corporation (PDC) untuk membangunkan sebuah bandar perubatan dan hab pembangunan bercampur di Bandar Cassia, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan.

Secara tentatif dinamakan 'Medi-City Bandar Cassia,' pembangunan yang dicadangkan itu terletak di atas sebidang tanah seluas 93 hektar.

Antara perkara yang utama lain, Fajarbaru juga telah bersetuju untuk menggariskan model perniagaan, garis masa pembangunan, keperluan pembiayaan dan unjuran nilai pembangunan kasar pembangunan.

Sebagai sebahagian daripada MOU, Fajarbaru akan bekerjasama dengan perunding profesional dan pakar industri untuk menjalankan kajian pasaran dan kajian daya maju, membangunkan cadangan mengenai aspek teknikal dan kewangan untuk keseluruhan pembangunan.

MoU itu akan kekal berkuat kuasa selama enam bulan dari tarikh perjanjian, atau sehingga pemeteraian perjanjian muktamad antara Fajarbaru dan PDC. Fajarbaru boleh meminta pelanjutan MoU untuk tiga bulan lagi, tertakluk kepada kelulusan PDC.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng berkata, pihaknya berbesar hati diberi peluang untuk bekerjasama dengan PDC dalam pembangunan utama ini.

"Bandar perubatan ini bakal mewakili satu peristiwa penting dalam evolusi penjagaan kesihatan dan teknologi, menghimpunkan minda yang cemerlang, infrastruktur terkini serta ekosistem kondusif untuk penyelidikan dan pembangunan.

"Apabila siap, Medi-City Bandar Cassia akan berfungsi sebagai hab perubatan yang menyediakan perkhidmatan eko-pelancongan dan perniagaan global dengan kemudahan termasuk hospital, kampus perubatan, hab bekalan perubatan, suite korporat, pusat pemulihan, perkampungan persaraan, pusat kesihatan dan sebagainya," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Eric, matlamat pihaknya untuk membangunkan bandar perubatan yang berintegrasi ke dalam komuniti, menyumbang kepada kesihatan, kesejahteraan dan ekonomi masyarakat sekeliling, di samping menarik pelancong perubatan dari seluruh dunia.

Katanya, pihaknya juga berhasrat untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab perubatan serantau dan global, melalui Medi-City Bandar Cassia.

Cadanagn pihaknya juga termasuk elemen bukan perubatan, runcit, hotel, kediaman, hab komersial, komponen rekreasi dan sistem pengangkutan bersepadu.

"Dari segi infrastruktur pengangkutan, kami akan dapat memanfaatkan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, serta sistem infrastruktur yang dibina sebagai sebahagian daripada pembangunan Medi-City Bandar Cassia," katanya. - DagangNews.com