
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada awal bulan lalu, negara dikejutkan dengan pengumuman pembubaran secara rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun manakala DUN Negeri Sembilan pada 5 Jun 2026.
Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini (12 Jun) telah mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kedua-dua negeri tersebut akan diadakan secara berasingan iaitu pada 11 Julai bagi Johor dan Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.
PRN Negeri Johor Diadakan Lebih Awal Berbanding Negeri Sembilan
Menurut Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu kenyataan, PRN di kedua-dua negeri tersebut dijalankan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Negeri Johor serta 36 kerusi Dewan Negeri Sembilan.
Malah dalam kenyataan sama, Ramlan turut berkongsi tarikh penting bagi kedua DUN terbabit.
| Tarikh Penting | PRN Johor | PRN Negeri Sembilan |
| Hari Penamaan Calon | 27 Jun 2026 (Sabtu) | 18 Julai 2026 (Sabtu) |
| Hari Undi Awal | 7 Julai 2026 (Selasa) | 28 Julai 2026 (Selasa) |
| Hari Mengundi | 11 Julai 2026 (Sabtu) | 1 Ogos 2026 (Sabtu) |
Jelasnya, tempoh berkempen bagi kedua-dua PRN tersebut ditetapkan 14 hari selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 Jun 2026.
Bagi PRN Johor, tarikh berkempen adalah sehingga 10 Julai (Jumaat) manakala bagi PRN Negeri Sembilan adalah 18 Julai (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam.
SPR Jelas Faktor PRN Dijalankan Berasingan
Jelas Ramlan, faktor logistik dan persiapan petugas menjadi antara penyebab utama PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak diadakan serentak.
Terangnya, pembubaran DUN Negeri Sembilan berlaku secara mengejut menyebabkan persediaan di negeri tersebut belum dapat dibuat sepenuhnya.
“(DUN) Negeri Sembilan itu snap (bubar mengejut). Jadi keadaan langsung tidak sedia.
“Negeri Sembilan cuma ada peti undi sahaja. Jadi kita perlukan masa untuk mereka (petugas SPR) betul-betul fokus,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Tambahnya lagi, pelaksanaan pilihan raya serentak akan menyebabkan timbulnya kekangan dari segi logistik, latihan petugas serta penyelarasan operasi di lapangan.
“Jika dibuat serentak, persiapan kita memang tidak sempat dari segi logistik, latihan dan sebagainya,” katanya.
Isu Pembubaran Negeri Sembilan Bukan Dibawah Bidang SPR
Pada masa sama, Ramlan menegaskan isu pengesahan pembubaran DUN Negeri Sembilan bukan berada di bawah bidang kuasa SPR.
Namun jelasnya, SPR telah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung perkara terbabit.
[ KENYATAAN MEDIA ]
— Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (@sprgovmy) June 12, 2026
URUSAN PILIHAN RAYA UMUM DEWAN NEGERI JOHOR KE-16 DAN PILIHAN RAYA UMUM DEWAN NEGERI NEGERI SEMBILAN KE-16 pic.twitter.com/yvZSwN0IfB
Baca Artikel Berkaitan: Aminuddin Umum DUN Negeri Sembilan Bubar Jumaat, 5 Jun
Baca Artikel Berkaitan: 14 Adun UMNO Umum Hilang Kepercayaan, Tarik Sokongan Terhadap MB Negeri Sembilan






