FAM harap belanjawan bantu realisasi pelan baharu

LocalFootball
7 Oct 2026 • 9:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: FAM harap belanjawan bantu realisasi pelan baharu

KUALA LUMPUR: Perancangan besar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membentuk hala tuju baharu bola sepak negara memerlukan sokongan kewangan kukuh.

Justeru badan induk itu berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat ini, dapat memberikan suntikan tambahan kepada pembangunan sukan nombor satu negara tersebut.

Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pengurusan bola sepak moden menuntut komitmen kewangan yang besar, bukan sahaja untuk mengendalikan pasukan kebangsaan, malah merangkumi pembangunan akar umbi, program pemain pelapis dan penyediaan platform kompetitif di semua peringkat.

Menurut beliau, FAM seperti badan sukan lain amat mengharapkan sokongan kerajaan bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Kalau berkaitan dengan belanjawan ini, saya rasa FAM atau badan sukan yang lain mengharapkan sesuatu supaya dapat dibantu dari segi kewangan kerana bukan satu benda yang mudah untuk mentadbir badan sukan.

“Lebih-lebih lagi bola sepak yang menjadi sukan nombor satu negara,” katanya kepada media.

Ab Ghani berkata, FAM ketika ini sedang memuktamadkan satu kerangka pembangunan baharu yang bakal menjadi panduan utama badan induk itu dalam merancang masa depan bola sepak negara.

Menurutnya, pelan berkenaan merangkumi pelbagai aspek penting yang disifatkan mampu memperkukuhkan struktur pembangunan bola sepak negara untuk jangka masa panjang.

“Saya membentangkan satu ‘framework’ ataupun ‘pathway’ bola sepak negara dalam mesyuarat Exco FAM, namun perkara itu belum boleh diumumkan lagi kerana kita bercadang melancarkannya dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.

“Ia melengkapi semua perkara yang saya rasa amat penting untuk memastikan FAM benar-benar bersedia menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.

Beliau mengakui kejayaan melaksanakan pelan berkenaan bergantung kepada keupayaan badan induk itu mendapatkan sumber kewangan yang mencukupi.

Katanya, setiap program pembangunan memerlukan pelaburan berterusan bagi memastikan pemain muda mendapat pendedahan terbaik dan pasukan kebangsaan kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini kerajaan memperuntukkan RM30 juta kepada FAM bagi pembangunan Harimau Malaya, termasuk RM15 juta yang disalurkan menerusi sektor swasta.

Peruntukan tersebut digunakan untuk pengurusan FAM, pembangunan pemain pelapis serta program pendedahan skuad bawah 23 tahun bagi memastikan kesinambungan prestasi bola sepak negara. – UTUSAN

The post FAM harap belanjawan bantu realisasi pelan baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved