
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan percaya skuad bawah 17 tahun (B-17) lelaki negara berpotensi melakar keputusan positif dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-17 di Selayang dari 8 hingga 20 November ini.
Beliau menegaskan persembahan berkualiti perlu menjadi keutamaan pemain, sambil menyuarakan keyakinan bahawa aksi konsisten mampu membuka peluang buat Malaysia memburu keputusan positif dalam kejohanan itu.
“Harapan kita ialah mereka dapat bermain dengan baik. Permainan yang baik tentu akan menghasilkan keputusan yang baik.
“Kita harap mereka dapat melakukan sesuatu seperti skuad B-19 sebelum ini (layak ke pusingan akhir) bagi membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul untuk pergi lebih jauh, bukan hanya di peringkat ASEAN,” katanya kepada media.
Menurut Ab Ghani, kejayaan skuad remaja negara sebelum ini, termasuk kelayakan pasukan B-19 yang dibimbing Shukor Adan ke pusingan akhir, menjadi petanda positif terhadap perkembangan bola sepak negara.
Beliau turut melihat skuad B-17 memiliki potensi untuk mengikuti jejak langkah itu, terutama apabila beraksi di laman sendiri yang seharusnya dimanfaatkan bagi memburu tiket ke pusingan akhir.
Ab Ghani berkata, FAM mahu memastikan pembangunan bola sepak negara berjalan secara menyeluruh dengan memberikan perhatian kepada semua peringkat umur, selain meletakkan sasaran untuk meningkatkan pencapaian pasukan kebangsaan.
“Kita mahu melihat perubahan dalam FAM. Apabila bercakap mengenai bola sepak, semua peringkat umur perlu bersedia untuk mencapai hasil yang baik.
“Kita sedang bergerak ke arah itu bagi memastikan setiap pasukan, dalam apa juga kejohanan, diberikan perhatian serius untuk membawa nama negara,” ujarnya.
Dalam kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama India, Palestin, Singapura dan Guam, dengan semua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Misi skuad negara bagaimanapun bukan mudah apabila hanya juara kumpulan akan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Uzbekistan dari 12 hingga 29 Mei 2027. – UTUSAN
The post FAM optimis skuad B-17 negara mampu lakar kejutan appeared first on Utusan Malaysia.






