
PETALING JAYA: Pengalaman mengemudi pasukan tempatan dan membentuk pemain muda menjadi taruhan apabila P. Maniam dilantik mengetuai skuad Malaysia Bawah 15 Tahun (B-15) ke Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Baku, Azerbaijan.
Pelantikan bekas pengendali PDRM FC berusia 58 tahun itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi saluran rasmi badan induk berkenaan, sekali gus membuka lembaran baharu buat beliau bersama pasukan kebangsaan.
Maniam yang kini membimbing skuad B-15 Akademi Mokhtar Dahari (AMD) memiliki latar belakang dalam pembangunan akar umbi, termasuk pengalaman mengendalikan skuad Malaysia B-16 dari 2019 hingga 2020, selain pernah membimbing Selangor FC.
Seramai 22 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula hari ini bagi mempersiapkan pasukan menghadapi kejohanan yang bakal menguji kemampuan serta ketahanan pemain muda negara di pentas antarabangsa.
Kejohanan edisi sulung itu menggunakan format lapan sebelah, dengan pasukan bertanding dalam pusingan kelayakan secara liga satu pusingan, sekali gus menuntut skuad negara memanfaatkan setiap peluang untuk mengutip keputusan positif.
Malaysia diundi dalam Kumpulan H dan membuka kempen menentang Dominica pada 24 Oktober sebelum bertemu Syria pada 25 Oktober diikuti Ethiopia pada hari sama.
Cabaran Harimau Muda diteruskan dengan dua lagi perlawanan pada 26 Oktober apabila berdepan Hungary dan Mexico dengan semua aksi Kumpulan H berlangsung di Hovsan Competition Complex. – UTUSAN
The post Maniam pikul cabaran Harimau Muda di Piala Dunia B-15 appeared first on Utusan Malaysia.





