
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini memerlukan barisan kepimpinan yang benar-benar mahu bekerja, bukannya individu yang sekadar mengejar kedudukan, ketika badan induk itu bersiap menghadapi pemilihan bagi melengkapkan baki penggal 2025-2029 pada 17 September ini.
Senarai calon akan diketahui, esok dengan pengesahan pencalonan sama ada menerima atau menolak jawatan yang bakal dipertandingkan akan ditutup selewat-lewatnya jam 5.30 petang ini.
Pemilihan kali ini dilihat sebagai medan penting untuk memilih individu yang mampu membawa perubahan menerusi visi, misi dan perancangan yang jelas, bukan bergantung kepada pakatan atau pengaruh tertentu.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed berkata FAM kini berada dalam fasa penting untuk memulihkan semula keyakinan terhadap badan induk bola sepak negara selepas melalui pelbagai episod yang memberi kesan terhadap imej serta kredibilitinya.
“Kalau FAM berada di titik tertinggi, sekarang kita berada di titik paling rendah. Sebab itu kena pilih orang yang mahu buat kerja. Jangan hanya bercakap mengenai jawatan, tetapi tunjukkan apa yang boleh dilakukan untuk menaikkan semula bola sepak Malaysia.
“Tidak perlu bawa nama siapa yang menyokong atau membentuk pakatan. Bawa diri sendiri. Masing-masing kena jual perkhidmatan sendiri, misi dan visi. Kita mahu orang yang benar-benar mahu bekerja, bukan mencari makan dalam FAM,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Perebutan jawatan presiden khususnya mencuri tumpuan apabila tiga nama dikaitkan dengan persaingan tersebut, iaitu Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin; Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan; serta Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Bagaimanapun, ketiga-tiga nama berkenaan masih belum mengesahkan keputusan masing-masing dan status pencalonan mereka hanya akan diketahui selepas tempoh pengesahan berakhir sebelum diumumkan kepada umum.
Difahamkan Hamidin dikatakan tidak akan bertanding merebut jawatan berkenaan sekali gus bakal menyaksikan perebutan satu lawan satu untuk kerusi No.1 tersebut.
Perubahan turut dijangka berlaku dalam perebutan jawatan lain, termasuk Naib Presiden 1 selepas dua calon dikatakan mengambil keputusan untuk menarik diri, menjadikan hanya tiga nama kekal dalam persaingan.
Situasi itu menjadikan tempoh sebelum tarikh tutup pengesahan sebagai fasa kritikal kerana sebarang keputusan untuk menerima atau menolak pencalonan mampu mengubah percaturan bagi jawatan yang dipertandingkan.
Apa yang lebih penting, pemilihan kali ini berlangsung ketika FAM perlu melakukan pembaikan terhadap struktur organisasi dan tadbir urus selepas melalui episod kontroversi yang menguji kredibiliti badan induk itu.
Kemelut pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain yang membawa kepada tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap pemain terbabit serta FAM antara isu besar yang mencetuskan tekanan terhadap badan induk bola sepak negara.
Perkembangan itu turut menyaksikan perubahan dalam kepimpinan FAM apabila barisan Jawatankuasa Eksekutif terdahulu meletakkan jawatan secara berjemaah, sekali gus membuka ruang kepada pemilihan bagi meneruskan baki penggal 2025-2029. – UTUSAN
The post FAM perlukan ‘orang kerja’, bukan penunggang jawatan appeared first on Utusan Malaysia.



