Ahli gabungan FAM perlu pilih calon ada merit

LocalFootball
14 Aug 2026 • 10:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ahli gabungan FAM perlu pilih calon ada merit

PETALING JAYA: Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membuat pilihan berdasarkan merit dan kemampuan calon, bukannya semata-mata melihat kepada muka baharu atau lama pada pemilihan badan induk itu ps 17 September ini.

Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, calon yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran bola sepak juga wajar diberi pertimbangan kerana mereka sudah memahami selok-belok pengurusan badan induk berkenaan.

Menurutnya, kongres pemilihan FAM perlu dibuka kepada semua individu yang mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk membawa perubahan serta memperkukuhkan pentadbiran bola sepak negara.

“Bagi saya, ahli gabungan perlu melihat kepada merit setiap calon. Jangan hanya kerana seseorang itu muka lama, kita terus ketepikan. Begitu juga muka baharu, mereka juga perlu dinilai berdasarkan kemampuan dan pengalaman yang ada.

“Kalau calon lama mempunyai pengalaman dan rekod yang baik, mereka juga masih berkelayakan untuk menawarkan diri. Yang penting ialah siapa yang mampu memberikan sumbangan terbaik kepada FAM,” katanya.

Hisamuddin berkata, persaingan secara terbuka antara calon lama dan baharu adalah sesuatu yang positif kerana ia memberi peluang kepada ahli gabungan untuk memilih barisan kepimpinan terbaik bagi menerajui FAM.

Katanya, apa yang lebih penting ialah calon yang dipilih mampu bekerja secara berpasukan, mempunyai visi yang jelas serta memahami keperluan pembangunan bola sepak negara dari peringkat akar umbi hingga ke pasukan kebangsaan.

“Jangan kita lihat kepada muka semata-mata. Yang kita mahu ialah orang yang benar-benar boleh bekerja, mempunyai pengalaman dan idea untuk membantu FAM bergerak ke hadapan.

“Kalau muka lama masih mempunyai kemampuan dan pengalaman, berikan peluang. Kalau muka baharu pula mempunyai idea serta kemampuan, mereka juga patut diberi ruang. Pertandingan ini biarlah terbuka dan ahli gabungan membuat keputusan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hisamudin mengesahkan beliau bersedia untuk mempertahankan jawatan Exco FAM pada pemilihan akan datang selepas menerima pencalonan daripada ahli gabungan.

Beliau berkata, surat penerimaan pencalonan berkenaan juga sudah dibalas sebagai tanda kesediaannya untuk meneruskan khidmat dalam barisan kepimpinan FAM.

“Saya sudah menerima pencalonan dan surat penerimaan itu juga sudah saya balas. Jadi, saya bersedia untuk mempertahankan jawatan Exco sekiranya diberi kepercayaan oleh ahli gabungan,” katanya.

Hisamudin yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran FAM sebelum ini turut menegaskan kesediaannya untuk terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara sekiranya dipilih semula.

Beliau berkata, keputusan akhir tetap terletak di tangan ahli gabungan dan dirinya tidak mahu mendahului proses pemilihan yang bakal berlangsung.

“Yang penting sekarang ialah kita beri ruang kepada semua calon yang layak untuk bertanding. Selepas itu ahli gabungan boleh menilai dan memilih berdasarkan merit, pengalaman serta kemampuan masing-masing,” katanya.

Pemilihan FAM dijangka menarik perhatian apabila persaingan bukan sahaja membabitkan calon bagi jawatan utama, malah turut menyaksikan perebutan kerusi Exco, sekali gus memberi peluang kepada ahli gabungan menentukan hala tuju baharu badan induk bola sepak negara.-UTUSAN

The post Ahli gabungan FAM perlu pilih calon ada merit appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved