'Family tak tanya, semua dah faham' – Aprena Manrose akui ada beza raya tanpa pasangan, pilih nikmati fasa solo & fokus diri

EntertainmentLifestyle
23 Mar 2026 • 12:44 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

SELEPAS melalui fasa perubahan besar dalam kehidupan peribadi, pelakon Aprena Manrose kini tampil lebih tenang dan menerima perjalanan hidupnya dengan hati terbuka.

Sambutan Aidilfitri kali ini membawa makna berbeza apabila buat pertama kali dalam tempoh lebih 9 tahun, dia menyambut raya tanpa pasangan di sisi.

Menurut Aprena, pengalaman beraya seorang diri bukanlah sesuatu yang mengejutkan sepenuhnya kerana dia sudah melalui situasi sama pada tahun sebelumnya.

Namun, perbezaan tetap dirasai apabila memasuki fasa sebenar sebagai wanita solo.

“Tahun lepas pun memang dah raya sorang. Jadi, itu macam dah practice untuk raya sorang yang betul-betul raya sorang. Sampai dah masa tu. Tak apa, okey je,” katanya, menggambarkan penerimaan yang semakin baik terhadap situasi yang dilalui.

Dalam pada itu, Aprena mengakui keluarganya memainkan peranan penting dalam memastikan dirinya berada dalam keadaan stabil dari segi emosi. Menurutnya, keluarganya tidak banyak bertanya atau mempersoalkan status dirinya, sebaliknya lebih memahami keadaan yang sedang dilalui.

“Family saya jenis yang faham. Mereka tak tanya pun. Semua macam dah tahu dan faham.

"Jadi, tak ada pressure langsung,” jelasnya.

Menariknya, Aprena turut berkongsi bahawa latar belakang keluarganya yang juga pernah melalui situasi 'broken family' membuatkan mereka lebih empati dan tidak melihat perpisahan sebagai sesuatu yang asing.

Sokongan tersebut menjadi kekuatan utama buat dirinya untuk terus melangkah tanpa rasa tertekan.

image is not available

Bakal  pasangan

Selepas lebih sedekad berada dalam hubungan, Aprena kini memilih untuk memberi ruang kepada diri sendiri sebelum kembali memikirkan soal cinta.

Malah, dia tidak menolak untuk bergurau tentang masa depannya apabila menyentuh soal bakal pasangan.

“Siapa bakal suami saya seterusnya? Okay gurau…” katanya sambil ketawa kecil, menunjukkan sisi santainya walaupun dalam topik yang serius.

Dalam masa yang sama, bagi diri pemilik nama penuh, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman itu mengakui, terdapat individu yang cuba mendekati dirinya, termasuk yang menyatakan hasrat untuk berkahwin.

Namun, buat masa ini, dia lebih selesa untuk tidak terburu-buru membuat keputusan.

“Saya taklah muda kan, dah 33 tahun. Ada juga yang nak berkawan, ada yang ajak kahwin.

"Tapi saya macam nak sorang dulu, dua tiga tahun nak single dulu,” ujarnya jujur.

Anak kepada pasangan penyanyi dangdut terkenal, Iwan Syahman dan pelakon Rosnah Mohd Noor itu menjelaskan, tempoh ini penting untuk dirinya menyesuaikan diri dengan fasa baharu selepas sekian lama hidup dalam hubungan.

Baginya, fokus utama kini adalah untuk membina semula diri sendiri tanpa tekanan untuk berada dalam mana-mana hubungan.

Dia turut mengakui bahawa kehidupannya sebelum ini banyak diatur berdasarkan status sebagai seorang isteri, termasuk dalam membuat keputusan berkaitan kerjaya.

image is not available

Fasa  perkahwinan

Bahkan, pada satu ketika, dia pernah memperlahankan perjalanan seni kerana mahu memberi keutamaan kepada rumah tangga.

“Bila kita berkahwin, kita kena jaga batas pergaulan. Itu antara sebab kenapa dulu saya kurangkan berlakon,” katanya, berkongsi pertimbangan yang pernah dibuat ketika berada dalam fasa perkahwinan.

Dalam pada itu, Aprena turut menyentuh pandangannya tentang wanita berkerjaya selepas berkahwin.

Menurutnya, pandangan itu banyak dipengaruhi oleh pengalaman dan nasihat keluarga, khususnya berkaitan batas pergaulan dalam dunia pekerjaan.

Adik kepada Oktovia Manrose menjelaskan, setiap individu mempunyai pilihan tersendiri, namun apa yang penting adalah memahami keutamaan dan tanggungjawab masing-masing dalam kehidupan berumah tangga.

Selepas melalui perubahan dalam status kehidupan, Aprena kini kembali memberi tumpuan kepada kerjaya seni yang pernah diletakkan di belakang buat sementara waktu.

image is not available

Dengan fasa solo yang lebih terbuka, dia melihat peluang ini sebagai ruang untuk kembali aktif dan mengembangkan semula perjalanan kariernya dalam bidang lakonan.

Walaupun mengakui terdapat perbezaan dalam menyambut raya tanpa pasangan, Aprena tetap melihat pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang perlu dilalui dengan tenang.

Baginya, setiap fasa kehidupan membawa pengajaran tersendiri yang membentuk siapa dirinya hari ini.