Farid Kamil Sedang Nikmati Kebahagian, Akui Badan Semakin Berisi - “Ini Kali Pertama Berat Saya Mencecah Sebanyak…”

6 Jun 2024 • 12:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Semenjak kembali bersama, pelakon Farid Kamil dilihat semakin bahagia disamping isteri tercinta iaitu aktres Diana Danielle dan anak-anak mereka,  Muhammad dan Nur Aurora.

Bahagia Bersama Keluarga

Farid mengakui dia kini menikmati kehidupan yang bahagia bersama keluarganya dan turut melahirkan fasa syukur atas nikmat yang Allah berikan kepadanya.

 

"Saya sebenarnya amat bersyukur dan rasa dirahamati. Saya menikmati kehidupan dengan penuh bahagia, alhamdulillah.

 

"Segalanya berjalan dengan lancar termasuk keluarga dan kerjaya seni. Selain gembira, saya memang amat bersyukur,” kata Farid kepada Gempak.

Farid ditemui di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, selepas selesai urusan pengembumian Allahyarham pelakon dan penyair, Pyanhabib pada Rabu.

Berat Badan Naik

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seni, Farid memberitahu dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah filem berjudul Baran.

 

Katanya, pengarah filem berkenaan memintanya untuk menaikkan berat badan sehingga mencecah sekitar 97 kilogram demi menjayakan watak.

"Badan saya sekarang memang sedikit berisi, saya akui kerana berat saya naik mencecah 97 kg. Sebelum ini berat badan saya 80 kg, namun untuk penggambaran filem Gold saya terpaksa kurangkan menjadi sekitar 67 kg.

 

"Untuk filem yang saya sedang menjalani penggambaran sekarang (filem Baran) ini pengarah minta badan sedikit 'flabby' (berisi).

 

"Penggambaran filem itu berbaki lagi 20 peratus, jadi saya cuba untuk kurangkan semula berat badan. Ini pertama kali berat macam ini, memang rasa mengah bila berat badan cecah 97 kg,” ujarnya.

 

Terdahulu, Farid mengesahkan sudah rujuk kembali dengan bekas isteri, Diana Danielle pada 31 Ogos tahun lalu selepas mereka sah bercerai menerusi Google Meet pada 10 Ogos 2023.

 

Imbas kembali, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dengan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.