Farm Fresh catat untung bersih lebih rendah RM6.37 juta pada 1QFY24 akibat kos bahan mentah tenusu meningkat

Business & Finance
30 Aug 2023 • 3:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Farm Fresh catat untung bersih lebih rendah RM6.37 juta pada 1QFY24 akibat kos bahan mentah tenusu meningkat

diyana

30/08/2023 - 15:44

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Farm Fresh Berhad mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM6.37 juta dalam suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24), jatuh 58% daripada RM15.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu, akibat peningkatan kos bahan mentah tenusu.

Sementara itu, pendapatan kumpulan meningkat 28.8% kepada RM185 juta pada suku dalam tinjauan berbanding RM144 juta tahun lalu.

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan susut pada 1QFY24 susut kepada 0.34 sen daripada 0.82 sen sebelumnya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Farm Fresh berkata pendapatannya meningkat didorong terutamanya oleh jualan yang lebih tinggi daripada saluran pengedaran hotel, restoran dan kafe (“HORECA”), impak positif yang berpunca daripada pelancaran penawaran produk terbarunya serta jualan yang lebih tinggi daripada anak-anak syarikat Kumpulan di Australia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata walaupun persekitaran operasi mencabar ketika ini, pertumbuhan hasil yang dicapai membuktikan pelaksanaan strategi pertumbuhan serta pengiktirafan jenama kukuh yang telah dibina selama bertahun-tahun dengan penekanan terhadap bahan-bahan yang tulen dan berkualiti tinggi.

image is not available
Loi Tuan Ee

Dengan menjangkakan pemulihan, Tuan Ee berkata kumpulan itu masih aktif berkembang dengan rancangan memulakan operasi kami di Filipina dan melancarkan susu tumbesaran dalam bentuk serbuk menjelang akhir 2023.

Di samping itu, pengambilalihan Inside Scoop yang selesai baru-baru ini juga akan membuka jalan untuk kumpulan tersebut memasuki pasaran ais krim berbungkus, yang disasarkan pada awal tahun 2024.

“Kami juga telah memulakan operasi kilang pemprosesan Taiping, berserta pemasangan talian pemprosesan tambahan di kemudahan Muadzam Shah untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi produk kami.

“Kilang pemprosesan Taiping telah mengurangkan beberapa kapasiti di kilang pemprosesan Larkin yang membolehkan kami memberi tumpuan kepada eksport ke Singapura yang telah berkembang dengan kukuh sejak tiga tahun lepas.

“Oleh itu, prospek Farm Fresh kekal positif berikutan semua perkembangan terkini dan kami kekal optimistik terhadap masa depan kumpulan,” ujar beliau.- DagangNews.com