Untung bersih Hong Leong Bank susut 4% kepada RM864.7 juta bagi 4QFY23, isytihar dividen 38 sen

Business & Finance
30 Aug 2023 • 4:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Hong Leong Bank susut 4% kepada RM864.7 juta bagi 4QFY23, isytihar dividen 38 sen

diyana

30/08/2023 - 16:41

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Hong Leong Bank Bhd (HLB) mencatat keuntungan bersih RM864.7 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), susut 5% berbanding RM907.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu, akibat pendapatan bersih lebih rendah pada RM195.2 juta dan perbelanjaan operasi (opex) lebih tinggi sebanyak RM27.3 juta.

Bagaimanapun, ia dikurangkan oleh elaun yang lebih rendah untuk kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan sebanyak RM15.8 juta dan keuntungan syarikat bersekutu berjumlah RM29.7 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bank itu turut mencatat penurunan pendapatan sebanyak 13% pada suku berakhir 30 Jun 2023 itu kepada RM1.3 bilion, berbanding RM1.5 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22).

Secara keseluruhan, keuntungan bersih Hong Leong Bank bagi tahun kewangan 2023 (FY23) meningkat 16% kepada RM3.82 bilion daripada RM3.29 bilion pada FY22, manakala pendapatannya meningkat sedikit 1.6% kepada RM5.69 bilion daripada RM5.6 bilion tahun lalu.

Ini didorong oleh pengembangan berterusan pinjaman/pembiayaan, pendapatan bukan faedah yang mampan dan sumbangan kukuh daripada syarikat bersekutu, justeru mencatatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang lebih baik sebanyak 11.8%.

Dalam satu kenyataan media hari ini, bank itu mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 38 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen kepada 59 sen sesaham untuk FY23.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata portfolio pinjaman dan pembiayaan kasarnya meningkat 8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM181.7 bilion, dipacu oleh pengembangan dalam segmen gadai janji, pinjaman kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersil, serta operasi di luar negara.

image is not available
Kevin Lam

“Kami terus memantau dengan teliti kualiti aset kami dan memberi penekanan yang kuat dalam proses pengunderaitan kredit kami, seperti yang dibuktikan oleh nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) yang sihat sebanyak 0.57% pada 30 Jun 2023, dengan perlindungan rosot nilai pinjaman (LIC) yang mencukupi sebanyak 168.8%,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Hong Leong Bank berkata pendapatan faedah bersih stabil dari tahun ke tahun pada RM4.55 bilion untuk FY23, berikutan peningkatan tekanan kos pendanaan, yang dikurangkan oleh pengembangan portfolio pinjaman/pembiayaan dan pengurusan aset/liabiliti yang berkesan.

"Kami telah melihat bahawa penstabilan tekanan kos pembiayaan, ditambah dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei, akan memberikan kelegaan selanjutnya kepada margin faedah bersih (NIM) , bergerak ke hadapan," katanya berikutan bank itu mencatat NIM sebanyak 1.98% pada FY23.

Setakat 4:37 petang ini, saham Hong Leong Bank naik menokok 8 sen atau 0.4% kepada RM19.96 dengan permodalan pasaran bernilai RM43.3 bilion. - DagangNews.com