Farm Fresh dijangka buka kilang pengeluaran susu di Kemboja dalam tempoh 6 bulan - Maybank IB

29/08/2025 - 12:30
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Farm Fresh Berhad dijangka membuka kilang pengeluaran susu sejuk di Kemboja dalam tempoh enam bulan akan datang bagi mengukuhkan komitmen jangka panjangnya di rantau Asia Tenggara.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, sebagai langkah awal, kumpulan itu akan mula mengeksport susu UHT ke Kemboja pada Ogos 2025 sebagai reaksi kepada kekurangan bekalan susu tempatan susulan konflik perdagangan antara Kemboja dan Thailand.
Katanya, langkah strategik itu bukan sahaja bertujuan mengisi jurang berkalan susu di negara tersebut tetapi menjadi platform bagi mengukuhkan jenama Farm Fresh di pasaran Asia Tenggara.
Firma penyelidikan itu berkata, menurut maklumat pasaran, saiz pasaran susu sejuk di Kemboja dianggarkan antara AS$30 juta hingga AS$40 juta dan sekitar 80% bekalan susu di negara itu masih bergantung kepada Thailand.
Kehadiran Farm Fresh dijangka menjadi alternatif utama kepada Kemboja ketika berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan serantau.
“Kemboja menawarkan peluang strategik untuk kami memperluas jenama Farm Fresh dan memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap produk tenusu berkualiti tinggi,” katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB berkata, pengembangan itu juga selari dengan matlamat jangka sederhana syarikat untuk mempelbagaikan aliran pendapatan luar negara, di samping memperkukuh operasi domestik — termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran aiskrim dan pengenalan produk baharu seperti susu tepung.
Dengan potensi pertumbuhan di Kemboja serta penembusan berterusan di pasaran Filipina, Farm Fresh dijangka terus mendapat manfaat daripada permintaan domestik dan serantau yang kukuh.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran lebih tinggi RM2.35 sesaham.- DagangNews.com
standard

