
MELAKA: Bukan sekadar datang berkempen untuk meminta undi, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Farzana Hayani Mohd. Nasir mempunyai kelebihan tersendiri apabila kawasan itu bukan asing baginya, malah sebahagian tempatnya membesar.
Mesra disapa Nana, anak jati Bukit Rambai berusia 26 tahun itu melihat faktor mengenali selok-belok kawasan berkenaan sebagai antara kekuatan untuk mendekati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Bagi Farzana Hayani, Kelebang bukan sekadar kawasan yang perlu dilawati sepanjang tempoh berkempen, sebaliknya mempunyai masyarakat dan permasalahan yang sudah lama diketahuinya.
Latar belakang itu membolehkan beliau memahami kepelbagaian kelompok masyarakat di kawasan berkenaan, termasuk pesawah, nelayan, golongan pekerja dan anak muda yang mempunyai keperluan serta tuntutan berbeza.
KUASAI BAHASA MANDARIN
Malah, penguasaan bahasa Mandarin turut menjadi kelebihan tersendiri buat Farzana Hayani untuk mendekati masyarakat Cina, khususnya golongan warga emas yang mungkin lebih selesa berkomunikasi menggunakan bahasa ibunda.
Tidak hairanlah kehadirannya di beberapa lokasi tumpuan masyarakat Cina termasuk Pokok Mangga, mendapat perhatian penduduk yang melihat kebolehannya berkomunikasi dalam bahasa itu sebagai satu kelebihan.
Penguasaan bahasa Mandarin itu bukan sesuatu yang dipelajari secara singkat semata-mata untuk memenuhi keperluan politik, sebaliknya mempunyai kaitan rapat dengan latar belakang pendidikannya.
Farzana Hayani berkata, beliau bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tinggi Cina Melaka, selain mengambil subjek Bahasa Mandarin dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, pengalaman berada dalam persekitaran masyarakat berbilang kaum sejak zaman persekolahan membentuk keupayaannya berkomunikasi dengan lebih mudah, sekali gus menghilangkan jurang ketika mendekati pengundi berlainan latar belakang.
Ujarnya, kebolehan berbahasa Mandarin bukan sekadar untuk memperkenalkan diri tetapi membantu mewujudkan suasana perbualan lebih santai ketika menyentuh isu politik dan masalah setempat.
“Ramai masyarakat Cina yang disantuni ketika berkempen, khususnya di kedai makan dan semasa program jelajah mesra terkejut mendengar saya bertutur bahasa Mandarin dan perbualan politik kami menjadi lebih santai.
“Alhamdulillah, ia kelebihan kepada saya. Maklum balas diterima daripada masyarakat Cina di DUN Kelebang juga positif dan saya harap akan diterjemahkan pada kertas undi nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PERSAINGAN SENGIT EMPAT PENJURU

Namun, Farzana Hayani sedar penguasaan bahasa dan status sebagai anak tempatan sahaja tidak cukup untuk menjamin kemenangan, apatah lagi kerusi Kelebang menyaksikan persaingan empat penjuru melibatkan calon berpengalaman.
Beliau berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong; calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Young Jie Yu.
Persaingan itu meletakkan Farzana Hayani dalam situasi mencabar apabila perlu meyakinkan pengundi bahawa usia muda bukan penghalang untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, kemampuan seseorang pemimpin tidak seharusnya diukur berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya melalui kesungguhan bekerja, keupayaan menyelesaikan masalah dan komitmen memperjuangkan kepentingan masyarakat.
“Kita tengok (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berumur 80 tahun pun sangat bertenaga, jadi kita yang baru 26 tahun ni, kita jadikan itu sebagai contoh untuk kita bekerja dengan lebih kuat, lebih agresif.
“Usia bagi Nana bukan ukuran semata-mata. Kita kena nilai berdasarkan gerak kerja dan sebagainya,” katanya.
SUNGAI RAMBAI PENGALAMAN BERHARGA
PRN kali ini bukan percubaan pertama Farzana Hayani dalam gelanggang pilihan raya apabila beliau pernah bertanding di DUN Sungai Rambai ketika berusia 21 tahun pada PRN Melaka 2021.
Tegasnya, kekalahan pada percubaan pertama itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berada dalam arena politik, sebaliknya dijadikan pengalaman memperbaiki kelemahan dan menyusun gerak kerja dengan lebih teratur.
Beliau mengakui lebih bersedia kali ini berbanding ketika pertama kali bertanding, terutama daripada segi pengurusan jadual, penyelarasan jentera dan pemahaman terhadap keperluan pengundi.
“Untuk di Kelebang ini, saya bergerak di atas kapasiti sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tangga Batu. Pada awalnya saya tak sasarkan untuk kembali menjadi calon, tetapi diberi amanah oleh Pengerusi PH sekali lagi.
“Jadi gerak kerja itu memang kita sudah tumpu lebih awal dan sebagai anak jati Bukit Rambai, saya dah kenal pasti beberapa masalah berkaitan pesawah, nelayan dan sebagainya,” katanya.
Jelasnya, pengalaman sebagai Ketua AMK Cabang Tangga Batu turut memberinya ruang untuk membina hubungan dengan masyarakat setempat lebih awal, sekali gus membolehkan gerak kerja tidak bermula hanya selepas namanya diumumkan sebagai calon.
Katanya, antara perkara yang diberi perhatian termasuk isu kebajikan wanita, cabaran golongan ibu bekerja, masalah komuniti nelayan serta peluang pekerjaan kepada anak muda.
Farzana Hayani juga melihat keperluan untuk membawa pendekatan kempen yang lebih dekat dengan generasi muda, memandangkan kelompok itu mempunyai kecenderungan dan cara berinteraksi berbeza berbanding pengundi lebih berusia.
“Orang tengok saya sekarang sudah masuk gear lima. Saya kata, kalau ada gear 10, memang kita akan terus ke gear 10.
“Untuk tempoh baki ini, insya-Allah kita akan lebih banyakkan jadual, lebih kuat bekerja, lebih agresif, lebih banyak jumpa pengundi dan lebih banyak bersalaman dengan mereka selagi mana yang kita mampu,” katanya. – UTUSAN
The post Nana kenal ‘luar, dalam’ Kelebang appeared first on Utusan Malaysia.






