
MELAKA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang tidak menganggap dirinya sebagai ibu kepada anak berusia dua tahun sebagai penghalang untuk berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka
Farzana Hayani Mohd. Nasir, 26, telah membahagikan masa antara keluarga dan tuntutan politik bagi membuktikan keazaman tinggi apabila komited memulakan langkah seawal pukul 5.30 pagi demi mendekati seramai mungkin pengundi.
Kata Farzana yang lebih dikenali sebagai Nana, jadual hariannya sebagai calon biasanya padat bermula dengan menunaikan solat subuh di masjid atau surau sekitar DUN berkenaan, sebelum disusuli dengan pelbagai aktiviti ziarah kasih, program walkabout, serta aktiviti sukan dan keagamaan sehingga lewat malam.
“Setakat ini, saya berpuas hati dengan gerak kerja yang telah dirangka dan dilaksanakan. Saya anggarkan kira-kira 50 peratus daripada penduduk dalam DUN Kelebang telah saya dekati.
“Setiap hari, saya akan mula bergerak seawal 5.30 pagi dan tiba di rumah kira-kira 2 pagi esoknya bagi memastikan jadual yang telah dirangka dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu itu tidak menafikan jadual yang terhad untuk rehatnya itu kadangkala meletihkan tetapi segala rasa penat itu seolah-olah hilang apabila menerima respons positif dan sokongan padu daripada masyarakat setempat.
Masa berbahagi lagi seminggu berkempen, Nana tekad untuk terus mendengar keluh-kesah rakyat, terutamanya melibatkan isu banjir, kos sara hidup, peluang pekerjaan buat anak muda, kebajikan ibu tunggal serta nasib golongan nelayan di kawasan tersebut.
The post Masa dan keluarga tidak halang Farzana berkempen appeared first on Kosmo Online.






