Fashion Valet terima hampir RM40 juta daripada Khazanah, PNB pada 2018 - saksi

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 5:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Fashion Valet terima hampir RM40 juta daripada Khazanah, PNB pada 2018 - saksi Image from: Fashion Valet terima hampir RM40 juta daripada Khazanah, PNB pada 2018 - saksi liza16/10/2026 - 17:26 Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 16 Okt – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu syarikat fesyen tempatan Fashion Valet Sdn Bhd menerima wang pelaburan hampir RM40 juta daripada Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), lapan tahun lepas.

 

Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Cawangan Bukit Damansara Tay Lay Hong, 54, berkata wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Public Bank milik syarikat Fashion Valet menerusi empat transaksi antara Mac dan Disember 2018.

 

“Semakan ke atas penyata akaun bank syarikat Fashion Valet mendapati, Khazanah memindahkan wang berjumlah RM7,848,000 pada 23 Mac 2018 dan RM11,742,000 pada 26 Mac 2018 manakala PNB merekodkan pemindahan wang RM11,953,500 pada 4 Jun 2018 dan RM8,364,996 pada 20 Dis 2018,” katanya.

 

Saksi pendakwaan kelima itu berkata demikian menerusi pernyataan saksinya, pada perbicaraan kes pengasas Fashion Valet Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, yang berdepan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.

 

Tay turut mengesahkan terdapat pengeluaran wang berjumlah RM11 juta daripada akaun bank Fashion Valet pada 21 Ogos 2018, menerusi transaksi yang dilakukan secara “bulk payment” secara dalam talian.  

 

“Transaksi pemindahan wang berjumlah RM11 juta ini termasuk dalam kategori pembayaran yang memerlukan pengesahan, iaitu kelulusan daripada individu yang diberi kuasa (authorised person) bagi akaun Public Bank atas penama Fashion Valet Sdn Bhd, namun saya tidak pasti siapakah authorised person bagi perbankan dalam talian.

 

“Setahu saya, pelantikan authorised person, berdasarkan Resolusi Pengarah dengan kebiasaannya authorised signatory merupakan individu yang sama dengan authorised person bagi perbankan dalam talian,” kata Tay.

 

Selain itu, Tay yang mula berkhidmat dengan Public Bank pada 1993 berkata semakan terhadap penyata bank Fadzarudin Shah mendapati, terdapat satu transaksi kemasukkan wang berjumlah RM5 juta pada 4 Sept 2018 ke dalam akaun bank Fadzarudin Shah daripada syarikat 30 Maple Sdn Bhd, dengan rujukan “Interim Dividend”.

 

“Saya juga telah membuat semakan ke atas penyata bank bagi akaun penama Vivy Sofinas Yusof dan hasil semakan mendapati terdapat satu transaksi kemasukan wang daripada syarikat 30 Maple Sdn Bhd pada tarikh 3 Sept 2018 berjumlah RM5 juta dengan rujukan ‘CIMB Rentas’ ke dalam akaun bank ini,”  kata saksi itu.

 

Tay berkata wang berjumlah RM5.5 juta telah dikeluarkan daripada setiap akaun peribadi pasangan itu di kaunter Public Bank, pada 5 Sept 2018.

 

Semasa disoal balas peguam Datuk M. Athimulan, saksi itu bersetuju bahawa segala maklumat dalam pernyataan saksinya, berdasarkan dokumen termasuk penyata bank.

 

Selain itu, Tay bersetuju bahawa wang RM11 juta yang dikeluarkan daripada akaun bank Fashion Valet, bukan bermakna wang tersebut dipindahkan ke akaun peribadi tunggal dan  “bulk payment” adalah untuk bayaran gaji, sewa kedai dan sebagainya.

 

Vivy, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet, melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Fashion Valet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, di lokasi dan tarikh sama.

 

Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 3 Nov. – BERNAMA
 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved