
KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini diberitahu sebanyak empat transaksi kemasukan wang pelaburan hampir RM40 juta ke dalam akaun bank Syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. (FV)
daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada lapan tahun lalu.
Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Tay Lay Hong, 54, berkata keempat-empat transaksi itu masing-masing pada tarikh 23 Mac, 26 Mac, 4 Jun dan 20 Disember pada 2018.
Daripada pecahan empat transaksi itu, saksi itu menghuraikan semakan penyata akaun syarikat mendapati Khazanah Nasional memindahkan RM7.84 juta pada 23 Mac, RM11.74 juta pada 26 Mac sementara PNB merekodkan pemindahan RM11.95 juta pada 4 Jun dan RM8.36 juta pada 20 Disember.
Dalam pada itu, saksi turut mengatakan terdapat juga kemasukan wang sebanyak RM5 juta ke akaun penama Fadzarudin Shah Anuar dan jumlah sama pada akaun Vivy Sofinas Yusof.
“Saya dapati terdapat satu transaksi kemasukkan wang atas nama Fadzarudin pada 4 September 2018 ke dalam akaun ini (Public Bank) dengan jumlah RM5 juta dan transaksi ini telah dilakukan oleh syarikat 30 Maple Sdn Bhd dengan rujukan ”Interim Dividend”.
“Saya juga telah membuat semakan keatas penyata bank bagi akaun nama Vivy Sofinas Yusof dan hasil semakan terdapat satu transaksi kemasukan wang dari syarikat 30 Maple Sdn Bhd pada tarikh 3 September 2018 jumlah RM5 juta dengan rujukan ”CIMB Rentas” ke dalam akaun bank ini,” kata saksi pendakwaan kelima itu menerusi pernyataan saksinya pada perbicaraan pengasas FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) Datin Vivy Sofinaz Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar.
Perbicaraan dihadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung lagi 3 November ini.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Ia dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pasangan itu sekali lagi didakwa dan turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menyalahgunakan dana pelaburan PNB dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. iaitu dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat sama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Fashion Valet terima hampir RM40 juta daripada Khazanah Nasional, PNB appeared first on Kosmo Online.






