johardy16/10/2026 - 16:20 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt - MNC Wireless Berhad merancang membatalkan sehingga RM83 juta daripada modal saham terbitannya untuk mengimbangi kerugian terkumpul tanpa melibatkan sebarang bayaran tunai kepada pemegang saham.
Pengurangan yang dicadangkan itu hampir menyamai kerugian terkumpul syarikat sebanyak RM83.09 juta setakat 31 Mei 2026, menurut pekeliling kepada pemegang saham yang difailkan di Bursa Malaysia hari ini.
Langkah itu tidak akan mengubah jumlah saham yang dipegang pemegang saham atau harga rujukan saham, manakala aset bersih hanya akan berkurang sebanyak anggaran perbelanjaan RM110,000.
MNC berkata, pengurangan kerugian terkumpul dijangka meningkatkan kredibilitinya dalam kalangan pihak berkepentingan dan membantunya memperoleh syarat pembiayaan, kredit serta urusan perniagaan yang lebih baik.
Dengan andaian tiada penukaran saham keutamaan atau pelaksanaan waran tertunggak terlebih dahulu, pengurangan penuh itu akan menurunkan modal saham terbitan kepada RM64.71 juta daripada RM147.71 juta dengan jumlah saham biasa kekal sebanyak 943.25 juta.
Pemegang saham akan mengundi cadangan itu pada mesyuarat agung luar biasa pada 12 November 2026.
MNC menjangkakan pengurangan modal tersebut berkuat kuasa pada Januari 2027, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan.
MNC teruskan pembangunan e-SIJIL
Antara penyumbang kerugian terkumpul syarikat ialah kerugian rosot nilai RM13.94 juta ke atas pelaburan dalam anak syarikat dan jumlah terhutang oleh anak syarikat bagi tahun kewangan berakhir April 2024 serta tempoh 16 bulan berakhir Ogos 2025.
Sebanyak RM18.54 juta lagi melibatkan pelunasan dan kerugian rosot nilai platform digital dari tahun kewangan berakhir April 2021 hingga tempoh berakhir Ogos 2025.
Kumpulan mencatatkan kerugian bersih RM3.75 juta dengan hasil RM14.12 juta bagi sembilan bulan berakhir Mei 2026.
Bagi meningkatkan pendapatan, MNC meneruskan pembangunan platform pengurusan dokumen elektronik e-SIJIL serta platform pengiklanan mudah alih yang dibiayai terutamanya melalui hasil terbitan hak berserta waran yang selesai pada 15 Mei 2026.
Pembangunan kedua-dua platform dijangka siap dalam tempoh 18 bulan selepas terbitan hak tersebut selesai, dengan versi asas tersedia untuk dikomersialkan bagi menjana yuran langganan dan pengiklanan. - DagangNews.com





