amree02/11/2026 - 12:10 GAMBARAN artis mengenai pembangunan loji rawatan air yang dibina Google di Negeri Sembilan. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Google memperuntukkan AS$160 juta (kira-kira RM670 juta) bagi membangunkan infrastruktur bekalan air di Negeri Sembilan, termasuk takungan air luar sungai dan loji rawatan air, sebagai sebahagian pembangunan pusat data (DC) di Springhill Industrial Park, Port Dickson.
Menurutnya dalam kenyataan, pelaburan besar tersebut bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan operasi DC yang dikendalikan sendiri oleh Google, malah memperkukuh bekalan air untuk kegunaan penduduk serta sektor komersial di negeri berkenaan.
Katanya, menerusi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Google turut melantik Gamuda Berhad untuk membina kemudahan takungan air luar sungai dan loji rawatan tersebut.
"Apabila siap kelak, loji itu dijangka mempunyai kapasiti membekalkan sehingga 65 juta liter air (MLD) terawat sehari, manakala kemudahan berkenaan akan dimiliki Menteri Besar Negeri Sembilan (Diperbadankan) atau MBINS," jelas kumpulan tersebut.
Ujarnya, takungan yang dibangunkan berhampiran Sungai Linggi itu direka untuk menampung lebihan aliran sungai dan air hujan, khususnya ketika musim hujan, sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitarnya.
Air mentah yang dikumpulkan akan disalurkan ke loji rawatan sebelum digunakan untuk keperluan domestik dan komersial. Ketika musim kering, bekalan daripada takungan itu boleh digunakan bagi memastikan kesinambungan bekalan air tanpa mengganggu aliran semula jadi sungai.

Selain infrastruktur air, pembangunan Google di Negeri Sembilan turut merangkumi kampus DC di Port Dickson serta kemudahan berkaitan bekalan tenaga. Syarikat itu turut akan membayar sepenuhnya kos elektrik yang digunakan dan kos langsung infrastruktur bagi menyambungkannya kepada grid.
"DC berkenaan direka untuk menjadi antara kemudahan paling cekap tenaga di dunia dan bakal menyokong perkhidmatan seperti Search, Maps dan Chrome yang digunakan oleh jutaan individu serta organisasi di Malaysia," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Google turut memperluas kerjasama dengan SOLS Foundation menerusi dua inisiatif bagi melatih golongan belia tempatan menceburi sektor tenaga bersih, termasuk pemasangan solar, penyelenggaraan pengecas kenderaan elektrik (EV) dan operasi sistem tenaga.
Inisiatif pertama, Solar Explorers and Solar Futures, menyediakan makmal solar dan tenaga di sekolah awam terpilih, masing-masing dilengkapi sistem solar berkapasiti 2.56 kilowatt puncak (kWp) serta penyimpanan bateri 5.4 kilowatt-jam (kWh). Program itu turut melatih guru bagi memperkenalkan teknologi solar dan penjimatan tenaga kepada pelajar.
Program kedua, Digital Skills for the Renewable Energy Workforce, pula menyediakan latihan khusus selama 36 jam bagi meningkatkan kemahiran digital belia yang mengikuti program SOLS Solar Academy, termasuk kemahiran pengiraan sistem solar, pemantauan prestasi grid dan pelaporan kerja lapangan.
Kedua-dua inisiatif pendidikan dan latihan itu dijadualkan bermula di Negeri Sembilan pada awal 2027, sekali gus menyokong pembangunan bakat pekerja tempatan untuk memenuhi keperluan sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin berkembang. - DagangNews.com





