amree05/11/2026 - 15:30 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah membuka peluang kepada Malaysia menarik banyak acara perniagaan antarabangsa apabila negara berjaya membawa masuk 12 acara persidangan, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pemindahan 12 acara berkenaan yang tidak dapat berlangsung di rantau berkenaan, berpotensi menjana impak hasil ekonomi keseluruhan mencecah RM143.14 juta bagi 2026 dan 2027.
Menurut beliau, sebanyak empat acara dikenal pasti sudah dipindahkan ke Malaysia antara April hingga Disember 2026, dengan anggaran pulangan pendapatan sebanyak RM58.27 juta.
"Kejayaan berkenaan diterajui Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac)," katanya sebagai menjawab soalan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Ahli Parlimen tersebut ingin mengetahui mengenai strategi kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi MICE antarabangsa serta sumbangan industri itu kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dilanjutkan kepada 2027.
Mengulas pertanyaan berkenaan, King Sing berkata, setakat Oktober 2026, sebanyak 464 acara MICE berjaya dianjurkan di Malaysia dengan penyertaan lebih 800 delegasi, sekali gus menjana anggaran impak ekonomi iaitu RM5.11 bilion.

Bagi tahun depan pula ujar beliau, sebanyak 44 acara MICE sudah dikenal pasti untuk dianjurkan di seluruh negara, dengan melibatkan anggaran kedatangan kira-kira 69,500 delegasi dan sasaran impak ekonomi mencecah sejumlah RM1.03 bilion.
"Daripada jumlah tersebut, Motac mendapati sebanyak lapan acara MICE yang dipindahkan ke Malaysia susulan krisis global di rantau Timur Tengah dengan penganjurannya itu dijangka mampu menyumbang impak ekonomi sebanyak RM84.87 juta," tambahnya.
Kata King Sing, usaha menarik penganjur acara global turut disokong menerusi inisiatif Be Fuelled-Up di bawah MyCEB, hasil kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi menarik konvensyen, mesyuarat korporat dan pameran yang berpangkalan di luar negara.
Motac juga giat mempromosikan pakej pelancongan selepas persidangan bagi menggalakkan delegasi melanjutkan tempoh penginapan serta meningkatkan perbelanjaan, sekali gus memberi manfaat kepada pengusaha pengangkutan, hotel, penyedia perkhidmatan dan restoran.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia merekodkan 32.3 juta ketibaan pelawat asing dari Januari hingga September 2026, naik 2.4% berbanding tempoh sama tahun lalu, meskipun berdepan cabaran geopolitik dan gangguan laluan penerbangan antarabangsa. - DagangNews.com





