
Kuantan, Pahang bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantai dan hasil lautnya, malah perairannya turut menjadi destinasi pilihan kaki pancing yang gemar menguji kekuatan fizikal dan mental di tengah lautan.
Di sini, terdapat ramai operator bot sewa, daripada bot fiber yang laju hingga bot kayu boleh memuatkan ramai pemancing.
Bergantung kepada apa game yang diinginkan semasa trip memancing, setiap bot dan tekong mempunyai kemahiran mereka sendiri.
Bagi saya pula, lebih gemar menggunakan perkhidmatan tekong Acik Kuantan atau nama sebenarnya Fadzullah Rahim. Dia lebih mengkhususkan aktiviti fast jigging untuk trip botnya, sesuatu yang paling saya gemari jika turun ke laut.
Kebiasaannya, seawal pagi lagi bot akan meninggalkan jeti kerana mengejar masa keemasan ikan aktif di lubuk.
Bot akan mengambil masa kira-kira empat jam untuk menyampai ke lokasi pertama kerana jaraknya melebihi 110 batu nautika dari daratan.
Di tengah perjalanan, pemancing boleh merasa destinasi jigging semakin dekat apabila suasana mula berubah. Bangunan dan daratan semakin hilang daripada pandangan, sementara yang tinggal hanyalah laut biru terbentang luas sejauh mata memandang.
Menurut tekong, kawasan yang menjadi sasaran untuk kaki jigging ini mempunyai kedalaman sekitar 80 hingga 100 meter.
“Kawasan dengan kedalaman seperti ini memang sesuai untuk pemancing yang mahu bermain fast jigging. Tetapi kena ada tenaga dan stamina. Hendak main jig secara laju dari kedalaman macam ini memang bukan mudah,” kata Acik memberi semangat kepada pemancing.
Ritma jigging laju
Selalunya, sebaik sahaja bot tiba di lokasi, enjin bot akan diperlahankan dan semua pemancing mula bersiap dengan set jigging masing-masing.
Tekong akan menasihatkan berkenaan saiz, warna, profil dan berat jig yang harus digunakan mengikut keadaan arus, kejernihan dan kedalaman air sebelum dilepaskan ke dasar.
Paling penting, kekili mestilah mempunyai nisbah gear yang tinggi supaya jig dapat dikarau naik dengan pantas.
Joran pula haruslah mampu menampung berat jig dengan efisien dan dapat menyerap ‘hentakan’ daripada ikan yang sudah semestinya laju menyambar.
Teknik fast jigging memerlukan pemancing memainkan jig dengan pantas bagi menyerupai ikan kecil yang sedang kelam-kabut melarikan diri. Karauan laju dan rentakan agresif menjadi taruhan untuk menarik perhatian pemangsa pelagik.
Spesies ikan
Antara spesies ikan utama yang menjadi buruan ialah ebek bulat, tenggiri, gerepoh (GT), jemuduk, gerong pulau, dorado, barracuda, wahoo dan layaran.
Kesemua spesies ikan ini cukup terkenal dengan kelajuan serta kekuatan pecutannya.
Apabila jig disambar, suasana di atas bot terus bertukar. Bunyi drag yang ‘menjerit’ nyaring memecahkan kesunyian. Pemancing mula bertarung sambil cuba mengawal ikan daripada membawa tali terlalu jauh.

Ikan ebek bulat, gerong pulau dan GT terkenal dengan benaman padu dan daya juangnya, manakala tenggiri, wahoo dan layaran pula sering memberikan sambaran mengejut sebelum membuat pecutan deras.
Namun, laut Kuantan tidak hanya menawarkan spesies ikan pelagik.
Kadangkala, jig yang tenggelam terus ke dasar turut menerima sambaran daripada penghuni lubuk seperti pelbagai jenis kerapu, merah, jenahak dan spesies ikan demersal
lain yang mempunyai kekuatan tersendiri.
Inilah antara perkara yang membuatkan fast jigging begitu menarik, walaupun ia sungguh melelahkan.
Kita mungkin turun ke laut dengan sasaran ikan ebek bulat atau tenggiri, tetapi lautan sentiasa penuh dengan kejutan.
Satu jatuhan jig boleh menghasilkan spesies yang langsung tidak dijangka, inilah hakikatnya kerana rezeki bukan satu ketentuan.
Bagi pemancing yang pernah bermain jig di kedalaman 80 hingga 100 meter, mereka pasti memahami cabarannya.
Setiap kali jig dilepaskan ke dasar, tenaga diperlukan untuk menggayakannya semula ke atas. Jika arus kuat, cabarannya menjadi lebih berganda ditambah lagi jika kena ikan bersaiz kasar atau jenis degil yang sentiasa menentang dalam pertarungan.
Perjalanan ke lokasi berproduktif yang terletak melebihi 110 batu dari darat dan hampir empat jam perjalanan dari jeti mungkin kelihatan jauh bagi sesetengah pemancing.
Namun, bagi mereka yang benar-benar meminati dunia jigging, perjalanan itu adalah sebahagian daripada pengalaman.
The post ‘Fast jigging’ menjejak penghuni laut Kuantan appeared first on Kosmo Online.


