Teroka lubuk ikan bersama Tekong Wawik

3 Sep 2026 • 11:37 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Teroka lubuk ikan bersama Tekong Wawik

Di sebalik populariti yang semakin meningkat, nama Tekong Wawik atau nama sebenar Roswan Zawawi sering menjadi sebutan dalam kalangan kaki pancing. Dia sering menjadi pilihan pemancing yang mencari pengalaman turun ke laut bersama individu memahami selok-belok kawasan tersebut.

Berbekalkan pengalaman bertahun-tahun mengemudi bot di perairan Tanjung Karang, Wawik bukan sekadar membawa pelanggan ke laut, malah berkongsi ilmu mengenai teknik memancing, pembacaan arus, pemilihan lubuk dan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.

Baginya, setiap trip perlu memberi pengalaman yang menye­ronokkan, dan meningkatkan peluang pemancing untuk mendaratkan ikan idaman.

Menurutnya, keadaan laut sentiasa berubah mengikut musim, cuaca dan pergerakan arus.

Oleh itu, pemilihan lubuk memerlukan pemerhatian yang teliti serta pengalaman luas.

Faktor-faktor inilah yang membezakan seseorang tekong berpengalaman dengan tekong sekadar membawa bot ke laut.

“Setiap hari laut berubah. Kita perlu tahu bila masa ikan aktif, bagaimana arus bergerak dan lokasi yang sesuai mengikut keadaan semasa. Itulah cabaran sebenar menjadi seorang tekong,” tambahnya.

Lubuk ikan

Perairan Tanjung Karang terkenal dengan struktur dasar pelbagai, termasuk kawasan karang, tompokan batu dan beberapa lokasi kapal karam yang menjadi habitat semula jadi pelbagai spesies ikan.

Struktur ini menyediakan tempat perlindungan dan sumber makanan kepada ikan, sekali gus menjadikan kawasan tersebut antara lubuk yang sentiasa menjadi tumpuan pemancing.

Antara ikan yang sering menjadi sasaran adalah jenahak, kerapu, tenggiri, gerepoh, sagai, senangin, kurau dan cencaru kuda.

Pada musim tertentu, peman­cing turut berpeluang bertarung dengan spesies kerapu bersaiz trofi (boron) yang menguji kekuatan peralatan dan ketahanan fizikal.

Image from: Teroka lubuk ikan bersama Tekong Wawik
Semua peserta bergambar bersama hasil tangkapan sebelum mengakhiri trip memancing yang sukses.

Bagi penggemar teknik pan­cingan moden, perairan Tanjung Karang menawarkan peluang untuk mempraktikkan pelbagai gaya pancingan seperti slow jigging, fast jigging dan light jigging.

Sementara itu, teknik pan­cingan dasar masih kekal menjadi pilihan utama bagi mereka yang memburu spesies demersal se­perti jenahak dan kerapu.

Wawik berkata, dia sentiasa menyesuaikan lokasi memancing mengikut teknik yang ingin digunakan pelanggan.

Jika arus terlalu laju, dia akan memilih kawasan yang lebih sesuai bagi memastikan jig dapat dimainkan dengan lebih berkesan.

Pendekatan ini membantu meningkatkan peluang sambaran dan memberikan pengalaman memancing yang lebih memuaskan.

Keselamatan
Selain kepakaran mencari lubuk ikan, aspek keselamatan menjadi keutamaan setiap kali bot keluar ke laut.

Pemeriksaan keadaan cuaca, penyediaan jaket keselamatan serta pemantauan keadaan laut dilakukan sebelum perjalanan dimulakan.

Langkah itu penting bagi memastikan setiap trip berjalan lancar dan selamat.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Tanjung Karang semakin dikenali melalui perkongsian gambar dan video hasil tangkapan di media sosial.

Kejayaan pemancing menaikkan pelbagai spesies ikan secara konsisten telah menarik lebih ramai kaki pancing untuk mencuba sendiri pengalaman tersebut.

Perkembangan itu turut memberi manfaat kepada ekonomi setempat. Kehadiran pemancing dari pelbagai negeri membantu meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan bot sewa, penginapan, restoran, kedai umpan dan kedai peralatan memancing.

Ini secara tidak langsung menjadikan industri memancing rekreasi antara penyumbang kepada
aktiviti ekonomi di kawasan Tanjung Karang.

Bagi Wawik, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui jumlah ikan berjaya dinaikkan, tetapi kepuasan pelanggan yang pulang dengan pengalaman manis dan ingin kembali lagi.

Ramai pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya memilih untuk menempah trip berulang kerana yakin dengan komitmen dan kesungguhannya sebagai tekong.

Dengan gabungan pengalaman Tekong Wawik, kekayaan sumber laut dan keunikan struktur dasar perairan Tanjung Karang, kawasan ini mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai destinasi memancing rekreasi bertaraf nasional.

Bagi pemancing yang mencari cabaran baharu di Pantai Barat, Tanjung Karang menawarkan lebih daripada sekadar hasil tangkapan.

Ia menjanjikan pengalaman, ilmu dan kenangan yang sukar dilupakan.

The post Teroka lubuk ikan bersama Tekong Wawik appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved