Fatwa akan dikeluarkan terhadap ajaran ‘Ratu Nur Putri Ratu Balqis’

LocalPolitics
10 Apr 2026 • 1:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Fared (kanan) melakukan tinjauan di tiga lif yang rosak di Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Johor Bahru, pada Jumaat.
image is not available
Laporan Sinar Harian berhubung ibu tunggal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghantar komunikasi jelek antaranya mencaci sultan di Malaysia dan Brunei termasuk mengaku dirinya guru kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU - Jabatan Mufti Johor akan mengeluarkan fatwa berhubung fahaman dikaitkan dengan seorang wanita dikenali sebagai ‘Ratu Nur Putri Ratu Balqis’ selepas siasatan dan penilaian awal selesai dilaksanakan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ketika ini Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang menjalankan penyelidikan bagi menentukan sama ada ajaran dibawa individu terbabit mempunyai unsur penyelewengan akidah.

"Penyelidikan ini untuk memutuskan sama ada (ajaran wanita tersebut) terdapat unsur ajaran sesat atau tidak sebelum fatwa dikeluarkan. Pernyataan itu nampak macam ada menyimpang dan sesat.

"Laporan penyelidikan itu nanti akan dihantar kepada Jabatan Mufti Johor untuk urusan selanjutnya, jadi ini akan mengambil sedikit masa," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pembanteras Ajaran Sesat Negeri Johor berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau masalah tiga lif rosak di Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor di sini pada Jumaat.

Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, pihak berkuasa tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan kerana setiap kes melibatkan fahaman baharu perlu diteliti secara mendalam sebelum ditentukan status hukumnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JAINJ turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memantau kes berkenaan.

Katanya, setakat ini individu terbabit berada dalam perhatian pihak polis dan semua kandungan video berkaitan yang dimuat naik di media sosial sudah diturunkan.

"Fahaman suspek yang disebarkan dalam media sosial menggunakan akaun Ratu Nur Putri Ratu Balqis masih terkawal.

"Setakat ini pengikut ajaran wanita terbabit hanya terdiri daripada anak dan abang kandungnya," katanya lagi.

**media[3487208]**

Beliau berkata, siasatan awal mendapati fahaman wanita terbabit muncul sejak 2018, namun kembali tular selepas beberapa video dimuat naik pada 26 Mac lalu.

"Bila dia berulang kali (muat naik hantaran terbaharu), nampaknya lebih ligat termasuk mendakwa dirinya adalah roh kudus dan putera Mohamad anak Aminah, itu dah jauh menyongsang," katanya.

Selasa lalu, seorang ibu tunggal, Nurul Huda Mohd Bajuri, 49, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghantar komunikasi jelek antaranya mencaci sultan di Malaysia dan Brunei termasuk mengaku dirinya guru kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sebelum itu, tiga individu termasuk remaja berumur 17 tahun ditahan di Taman Saujana di sini bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan melalui aplikasi TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, Ketua Polis Johor dan Perdana Menteri.