amree08/09/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept — Favelle Favco Berhad mengukuhkan prospek hasil dengan memperoleh beberapa tempahan pembelian dan surat hasrat berjumlah RM131.7 juta, meliputi pembekalan menara kren dan kren luar pesisir kepada pelanggan di Malaysia, Korea Selatan, Vietnam, China dan Australia.
Tempahan yang diterima melalui anak syarikatnya, Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd dan Favelle Favco Cranes Pty Limited itu diperoleh secara berperingkat mulai 21 Ogos 2026 hingga 8 September 2026, dengan sebahagian penghantaran dijadualkan sehingga tempoh suku ketiga 2027.
Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd menerima tempahan daripada Shinwoo Development Co Ltd berpangkalan di Yeoju, Korea Selatan bagi pembekalan menara kren menara yang dijangka dapat dihantar menjelang akhir 2026.
"Anak syarikat yang sama itu turut menerima tempahan daripada PVD Trading and Technical Services Joint Stock Company di Ho Chi Minh City, Vietnam bagi pembekalan sejumlah kren luar pesisir, yang bakal dihantar kepada pelanggan menjelang pertengahan 2027," tambah Favelle Favco.
Selain itu, Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd menerima tempahan daripada Zhuhai Jutal Offshore Oil Services Limited beribu pejabat di Guandong, China bagi membekalkan kren luar pesisir dengan penghantaran secara berperingkat mulai tempoh suku kedua hingga suku ketiga 2027.

Sementara itu, Favelle Favco Cranes Pty Limited yang berpangkalan di Australia menerima tempahan daripada Marr Contracting Pty Ltd di negara berkenaan bagi membekalkan Menara kren, dengan penghantaran dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.
Secara keseluruhan katanya, kontrak berjumlah RM131.7 juta itu dijangka memberikan sumbangan secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Favelle Favco bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026 serta tahun-tahun berikutnya.
"Perolehan tempahan baharu tersebut juga memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan, khususnya menerusi penghantaran kren luar pesisir yang akan dilaksanakan sehingga 2027.
Selain itu ujar kumpulan berkenaan, kontrak baharu diperoleh tersebut tidak akan memberi sebarang kesan terhadap kedudukan modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
Lembaga Pengarah Favelle Favco turut mengesahkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Menurutnya, penerimaan kontrak berkenaan adalah demi kepentingan terbaik syarikat, sekali gus mencerminkan kesinambungan permintaan terhadap produk kren kumpulan dalam sektor pembinaan dan aktiviti luar pesisir. - DagangNews.com



