amree01/09/2026 - 15:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Sept — Aemulus Holdings Berhad menerima tempahan baharu bernilai 14.687 juta yuan (RM8.82 juta) daripada pelanggan di China bagi membekalkan sistem ujian pengesan imej CMOS (CIS).
Tender tersebut diperoleh anak syarikat milik penuhnya, Aemulus Corporation Sdn Bhd (ACSB), pada 1 September 2026, sekali gus membuka ruang besar pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi FY27 dan FY28.
Ujar kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia, perolehan daripada tempahan berkenaan akan diiktiraf secara berperingkat apabila sistem teknologi ini mula dihantar kepada pelanggannya itu.
"Tempahan ini bakal dilaksanakan sepanjang FY27 dan FY28, yang memberikan sumbangan positif kepada prestasi keuntungan kumpulan bagi kedua-dua tahun kewangan berkenaan," jelas kenyataan Aemulus.
Perkembangan tersebut turut memberi prospek lebih baik dalam segmen sistem ujian semikonduktor, khususnya pasaran CIS yang secara kelazimannya digunakan luas dalam pelbagai peranti elektronik.
Bagaimanapun, syarikat itu mengingatkan pelaksanaan tempahan ini terdedah kepada beberapa risiko, termasuk isu ketersediaan bahan, perubahan harga bahan dan kemungkinan gangguan rantaian bekalan.

Selain itu ujar Aemulus, perubahan keadaan politik, ekonomi dan kawal selia turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang berpotensi besar bagi menjejaskan pelaksanaan tempahan baharu tersebut.
"Dari segi kewangan, ia menjangka tempahan itu memberi kesan positif terhadap keuntungan FY27 dan FY28, namun tiada kesan aset bersih sesaham tahun kewangan berakhir 30 September 2026," katanya.
Pada masa sama ujar kumpulan tersebut, tempahan berkenaan juga tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham serta struktur pegangan saham syarikat itu sepanjang kontrak penghantaran.
Di samping itu, Aemulus memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mereka yang mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam tempahan tersebut.
Keupayaan syarikat dalam mengurus risiko bekalan, kos bahan dan keadaan ekonomi serta geopolitik namun kekal penting bagi memastikan tempahan tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual.
"Secara keseluruhan, tempahan baharu dari China itu berpotensi menambah keterlihatan hasil bagi dua tahun kewangan yang akan datang," jelas kumpulan berkenaan. - DagangNews.com






