amree24/08/2026 - 17:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Ogos — Lysaght Galvanized Steel Berhad berjaya memperoleh tempahan pembelian terbaharu yang bernilai S$5.997 juta (kira-kira RM19.09 juta) daripada Signify Singapore Pte Ltd.
Ia diterima oleh anak syarikatnya berpangkalan di Singapura, Lysaght Marketing (S) Pte Ltd melibatkan pembekalan tiang tinggi, dengan penghantaran dijangka dilaksanakan dalam tempoh hingga enam tahun.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, tempahan pembelian berkenaan yang bertarikh 24 Ogos 2026 dan akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak tersebut.
"Pembelian baharu itu mencerminkan usaha Lysaght memperkukuh perniagaan serantaunya melalui operasi di Singapura serta mendapatkan tempahan jangka panjang daripada pelanggan industri," jelasnya.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut menjangkakan tempahan berkenaan tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan dan aset bersih bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026.

Keadaan itu ujarnya, berikutan tempoh penghantaran yang panjang sehingga enam tahun, menyebabkan sumbangan kewangan daripada tempahan tersebut hanya dapat direalisasikan secara berperingkat.
Pada masa sama jelas kumpulan tersebut, pesanan pembelian berkenaan juga tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham Lysaght sendiri.
"Di samping itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam pesanan pembelian tersebut," katanya.
Lembaga Pengarah kumpulan berkenaan tambahnya, turut berpendapat yang penerimaan tempahan pembelian tiang tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat dalam tempoh jangka sederhana.
Sehubungan itu, Lysaght berpendapat, tempahan daripada Signify Singapore itu sekali gus memberikan keterlihatan perniagaan kepada kumpulan berkenaan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
Ia juga dijangka melaksanakan penghantaran tiang tinggi secara berperingkat mengikut jadual dan keperluan pesanan pelanggan sepanjang tempoh sehingga enam tahun tersebut. - DagangNews.com






