
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob dan Datuk Seri Vida (DSV) memberi laluan kepada ‘adik-adik’ mereka, Bella Astillah dan Syed Saddiq, untuk melangkah ke alam perkahwinan terlebih dahulu sebelum tiba giliran mereka menyusul.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Fazley menyifatkan hubungan yang bakal terjalin itu sebagai penyatuan dua keluarga yang memerlukan masa serta penelitian rapi, khususnya membabitkan anak-anak.
“Ramai yang bertanya bila kami akan bernikah. Perlu difahami, ini adalah penyatuan dua keluarga, iaitu seorang duda dan seorang janda.
“Ia memerlukan proses asimilasi selain memastikan semua dokumentasi dan persiapan dilakukan dengan sempurna.
“Buat masa ini, saya mahu memberi laluan dan ruang kepada ‘adik-adik’ saya, Syed Saddiq dan Bella Astillah, untuk menyelesaikan urusan mereka terlebih dahulu. Insya-Allah, doakan selepas itu mungkin giliran abang dengan ‘kakak’ pula,” katanya.
Fazley dan DSV ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat di Balai Berita, di sini, semalam.
Dalam pada itu, DSV secara berseloroh memberi bayangan bahawa majlis perkahwinan mereka kelak bakal menjadi ‘Wedding of the Century’ atau Perkahwinan Abad Ini.
Bercerita mengenai keperibadian DSV yang membuatkan dirinya jatuh hati, pelantun lagu Asmara Ini itu mendedahkan wanita berkenaan sebenarnya seorang yang sangat menjaga agama, berbeza dengan imejnya yang kelihatan bingit di hadapan kamera.
“Individu yang saya jatuh hati ialah seorang yang sangat tenang, sopan santun dan mementingkan agama.
“Di belakang kamera, dia sangat menitikberatkan solat sunat, berzikir dan membaca al-Quran setiap hari.
“Meskipun orang luar sering mengkritik soal solekan tebal, bagi saya, itu hanyalah ‘persona’ untuk kerjayanya.
“Di mata saya, dia adalah wanita yang sangat merendah diri dan hebat pegangan agamanya. Itulah yang membuatkan saya yakin dia mampu menjadi teman hidup hingga ke syurga,” katanya.
Sementara itu, menepis dakwaan segelintir netizen yang menuduh dirinya mendekati DSV kerana kepentingan harta, Fazley menegaskan bahawa dia mempunyai latar belakang keluarga yang kukuh selain kerjaya korporat sendiri.
“Siapa kata saya tidak mempunyai duit? Kalau melihat latar belakang keluarga, Alhamdulillah, cukup segalanya.
“Penyatuan kami bukan soal wang, tetapi penyatuan dua jenama dan empayar perniagaan. Jadi, mustahil timbul tuduhan saya tidak bekerja.
“Saya mempunyai kerjaya sendiri, bekerja dalam bidang korporat dan memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam kelompok perniagaan makanan DSV. Kami komited untuk bekerja bersama-sama,” katanya. -UTUSAN
The post Fazley, Vida beri bayangan naik pelamin selepas Bella, Syed Saddiq appeared first on Utusan Malaysia.






