
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mencuri perhatian ramai apabila membuat kejutan melamar usahawan terkenal, Datuk Seri Vida dalam suasana romantis pada Konsert TikTok Shop 11.11 Mega Syok Live di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam Selasa.
Lamaran istimewa itu turut diserikan dengan pertunjukan 1,200 dron yang membentuk mesej khas di ruang udara KLCC, selain disaksikan anak-anak kedua-dua pihak.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman kelihatan terharu menerima kejutan berkenaan sebelum memberikan jawapan yang cukup menggembirakan Fazley.
“Jawapan saya yes, yes dan yes. Terima kasih sayang,” katanya.
Kejutan Dron Dan Cincin Eksklusif
Sebelum meluahkan hasrat untuk menjadikan Vida sebagai pasangan hidup, Fazley terlebih dahulu menyampaikan dua buah lagu, termasuk Di Alam Fana Cinta yang merupakan antara lagu kegemaran usahawan berkenaan.
Fazley turut menghadiahkan sebentuk cincin eksklusif bernilai RM7,000 hasil ciptaan Habib Jewel yang direka khas menyerupai tiara, mengambil inspirasi daripada kegemaran Vida memakai mahkota.
Menurut laporan media, kejutan lamaran itu dianggarkan menelan belanja keseluruhan sekitar RM500,000 termasuk persembahan dron dan persiapan acara.
Bukan Gimik, Fazley Mahu Buktikan Keseriusan
Fazley berkata, perancangan untuk melamar Vida dibuat kira-kira dua hingga tiga minggu lebih awal, manakala persiapan intensif mengambil masa hampir 14 hari.
Beliau turut menjelaskan pemilihan TikTok sebagai platform lamaran kerana Vida mempunyai hubungan rapat dengan platform berkenaan dan dikenali ramai menerusi kandungan serta siaran langsungnya.
Lamaran itu juga menjadi jawapan kepada persoalan ramai mengenai keseriusan hubungan mereka yang sebelum ini sering menjadi perhatian, khususnya selepas kedua-duanya terlibat dalam program realiti Talk To My Manager 2.
Bagaimanapun, cincin yang diberikan merupakan simbolik lamaran dan bukan cincin pertunangan rasmi, sebaliknya tanda kesungguhan Fazley untuk membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius.
Detik romantis itu sekali gus mencuri perhatian pengguna media sosial yang rata-rata mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan. – The Malaysian Update
The post Fazley Yaakob Lamar Datuk Seri Vida Dengan Kejutan 1,200 Dron, Vida Jawab “Yes, Yes And Yes” appeared first on The Malaysian Update.






