Fazlina idam bawa stail BTS atas pentas

Entertainment
6 Sep 2026 • 11:21 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Fazlina idam bawa stail BTS atas pentas

PENYERTAAN pelakon Fazlina Ahmad Daud dalam program Kilauan Emas Selebriti bukan sahaja memperlihatkan kebolehannya di atas pentas. Sebaliknya membuka ruang buatnya bereksperimen dengan fesyen yang lebih berani tanpa mengetepikan prinsip berpakaian patuh syariah.

Memasuki minggu ketiga program berkenaan, Fazlina menginginkan penampilan di pentas boleh kekal menarik dan moden tanpa perlu mengorbankan batas apatah lagi menghadkan pergerakan saat membuat persembahan.
Sebelum menyertai rancangan hiburan itu, Fazlina yang juga merupakan adik kepada primadona Fauziah Ahmad Daud atau Ogy sudah menyuarakan hasrat kepada pihak penerbit untuk memastikan pemakaian diberi perhatian.

Katanya, busana yang dikenakan sepanjang persembahan berkonsepkan patuh syariah dan mengharapkan kerjasama baik daripada pihak produksi dalam merealisasikan idea berkenaan.

“Dari awal lagi saya sudah meluahkan hasrat agar tidak mengenakan pakaian yang keterlaluan dan sebaiknya saya inginkan konsep patuh syariah.

“Sepanjang program ini, saya melihat mereka memberi kerjasama yang baik dan saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mereka kerana paling penting pakaian itu mudah untuk bergerak dan bersesuaian dengan penampilan sebagai wanita bertudung,” katanya ketika ditemui di konsert Kilauan Emas Selebriti di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Membuka tirai persembahan pertamanya di pentas itu, Fazlina muncul dengan penampilan yang cukup sentimental pada konsert pertama apabila mengenakan blazer brokat miliknya arwah bapanya, Datuk Ahmad Daud.

Menjadi salah satu koleksi seniman legenda popular dengan lagu Si Manis 17 itu, Fazlina mengakui keluarganya menyimpan blazer tersebut dengan baik selama kira-kira hampir 40 tahun.

Image from: Fazlina idam bawa stail BTS atas pentas
FAZLINA menitikberatkan rekaan patuh syariah dalam penampilannya di pentas, namun bersedia untuk bereksperimentasi.

Busana itu bukan sekadar pakaian pentas, sebaliknya menjadi simbol kesinambungan legasi seni keluarganya dan tanda terima kasih buat peminat kedua-dua orang tuanya, Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah.

“Waktu berada di atas pentas itu hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan dan saya hanya mampu menahan perasaan menyanyikan lagu arwah ayah sambil memakai baju beliau. Sejak kecil saya selalu mengikut beliau membuat persembahan pentas dan pada waktu itu saya memang berangan-angan yang saya akan menyanyikan lagu beliau lebih baik di atas pentas.

“Tapi takdir Allah itu memang indah, bukan umur 15, bukan umur 19, bukan umur 25, tapi ketika umur 51 saya berkesempatan membuat persembahan pentas menyanyikan lagu beliau sambil mengenakan pakaian yang sering arwah ayah pakai ketika menyanyi,” katanya.

Lanjut bercerita tentang gaya di atas pentas, Fazlina mengakui minatnya terhadap kumpulan sensasi Korea Selatan, BTS sedikit sebanyak mempengaruhi keinginan untuk melakukan eksperimen fesyen di pentas Kilauan Emas Selebriti.

Dia tertarik pendekatan fesyen pentas kumpulan itu yang berani bermain dengan siluet, lapisan dan potongan elemen lyrical armor dengan gabungan tekstur gotik, aksesori rantai, perincian seperti perisai lembut serta seluar berpotongan longgar saat tampil membuat persembahan konsert BTS The Comeback Live: Arirang di Seoul pada Mac lalu.

Baginya, pendekatan berkenaan membolehkan pakaian kelihatan dramatik di atas pentas, selain memberikan kebebasan bergerak ketika membuat persembahan.

“Kalau berpeluang untuk melakukan eksperimen fesyen, saya ingin suntikan elemen BTS kerana saya memang peminat BTS ketika mereka membuat konsert BTS The Comeback Live: Arirang.

“Memakai seluar kemudian diletakkan kain seperti diikat di tepi pada saya penampilan itu cukup menarik dan kalau mereka boleh buat begitu kenapa kita tidak boleh memakainya di sini.

“Jika saya masih bertahan, saya ingin cuba untuk membuat gaya fesyen seperti mereka itu,” ujarnya.

Dengan menggabungkan elemen fesyen moden, inspirasi antarabangsa dan prinsip patuh syariah, Fazlina berharap penampilannya dapat menjadi rujukan kepada penyanyi Muslimah lain yang mahu bergaya di pentas tanpa mengabaikan batas diri.

Bagi dirinya, fesyen bukan sekadar tentang mencipta penampilan menarik, tetapi ruang untuk mengekspresikan identiti, menghargai seni serta meneruskan legasi keluarga dengan cara tersendiri.

The post Fazlina idam bawa stail BTS atas pentas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved