Kai Xin akhiri SUKMA dengan emas

22 Aug 2026 • 3:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kai Xin akhiri SUKMA dengan emas

SHAH ALAM: Penampilan terakhir Wong Kai Xin di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir dengan kilauan emas apabila atlet wushu Melaka itu menjuarai acara wanita Nanquan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.

Kai Xin, 20, tampil tenang dan kemas sepanjang persembahan untuk mengumpul 9.633 mata, sekali gus mengetepikan rakan senegeri, Nor Azira Kamarudzaman yang meraih perak dengan 9.563 mata, manakala Gillian Ying Sze Ong dari Pulau Pinang membawa pulang gangsa selepas mengumpul 9.523 mata.

Lebih manis, emas itu hadir dalam acara terakhirnya di SUKMA selepas Kai Xin membuat penampilan sulung pada edisi 2018 ketika baru berusia 12 tahun.

Kejayaan berkenaan juga menjadi penebus kekecewaannya selepas sasaran dua emas tidak tercapai sepenuhnya apabila dia sekadar meraih perak dalam acara Nangun, semalam.

“Saya sangat gembira kerana menang emas ini sebab ini adalah SUKMA terakhir saya. Saya sangat tertekan dan gementar kerana saya sasarkan dua emas, tetapi dapat perak semalam.

“Jadi pagi ini adalah acara terakhir saya dan saya sangat gementar, tetapi saya cuma cuba buat yang terbaik,” katanya.

Kai Xin menamatkan empat penampilan di pentas SUKMA dengan koleksi emas, termasuk dua kejuaraan pada edisi Sarawak menerusi acara Taolu dan Gunsu, sebelum mengalihkan fokus kepada karier bersama pasukan kebangsaan.

Dia turut mendedikasikan kejayaan terakhirnya itu kepada ibu bapanya yang menjadi tonggak sokongan sepanjang perjalanan hampir sedekad dalam sukan wushu.Saya mahu dedikasikan kepada ibu bapa saya. Mereka paling penting,” katanya.

Selepas ini, Kai Xin memberi tumpuan untuk merebut tempat dalam skuad Sukan SEA tahun depan, dengan tahun ini tidak lagi mempunyai kejohanan untuk disertainya.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan tempat ke Sukan SEA tahun depan,” katanya.-UTUSAN

The post Kai Xin akhiri SUKMA dengan emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved