Federalisme Malaysia berdepan cabaran genting

LocalPolitics
11 May 2026 • 9:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Federalisme Malaysia berdepan cabaran genting
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebelum ini membangkitkan kekecewaan tentang hasil untuk negeri masing-masing.

DALAM dunia, terdapat kira-kira 28 negara menggunakan sistem federalisme atau Persekutuan dalam pentadbiran termasuklah Malaysia.

Secara umumnya Persekutuan Tanah Melayu dibentuk selepas negara mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1957 dan kemudian menjadi Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Selepas 63 tahun, Malaysia kini berdepan cabaran besar terhadap sistem Persekutuan, antara paling besar ialah Sabah dan Sarawak yang menuntut hak mereka dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sabah menuntut hak-hak yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia dilaksanakan sepenuhnya.

Antara perkara sering dibangkitkan ialah autonomi pentadbiran, kuasa kewangan, hak pembangunan, kedudukan Sabah sebagai wilayah pengasas Malaysia.

Baru-baru ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut dilaporkan menggesa sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan dijana di Johor dikembalikan kepada negeri itu.

Baginda bertitah, Johor antara penyumbang utama ekonomi negara dan pulangan diterima tidak setimpal keperluan pembangunan serta kebajikan rakyat.

Pada Julai 2025, Tunku Ismail menyatakan Johor dianggarkan menyumbang sekitar RM48 bilion hingga RM49 bilion kepada kerajaan Persekutuan setiap tahun, namun hanya menerima semula kira-kira RM1.4 bilion.

Terkini ialah kekecewaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai usaha menambahkan hasil negeri seperti mengeksport pasir sungai tidak diluluskan.

Titah baginda, Pahang sebelum ini dapat menambahkan hasil negeri dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, kerajaan Persekutuan tidak lagi membenarkannya sekarang ini, sedangkan hasil tanah dan pasir hak negeri.

Ketika timbul pelbagai desakan daripada negeri, kerajaan Persekutuan pula perlu berhati-hati dan memastikan perbelanjaan negara dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.

Keseimbangan perlu dicapai antara tuntutan negeri dan keperluan rakyat yang mahukan kualiti hidup dapat ditingkatkan menerusi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.