Mengembalikan semula hak negeri: Suara Pahang perlu didengari

LocalPolitics
11 May 2026 • 3:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mengembalikan semula hak negeri: Suara Pahang perlu didengari
Datuk Andansura Rabu.

Oleh Andansura Rabu

TITAH Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 pada 8 Mei merupakan satu peringatan besar kepada negara bahawa hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu dinilai semula secara lebih adil dan seimbang.

Sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya melihat titah baginda sebagai suara yang lahir daripada realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh negeri Pahang. Negeri ini bukan sahaja negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, tetapi juga antara tunjang penting kepada kestabilan ekologi, sumber air, biodiversiti dan keselamatan alam sekitar negara.

Namun, pada masa yang sama, banyak hak dan ruang pembangunan negeri dilihat semakin sempit akibat pemusatan kuasa dan kewangan di peringkat Persekutuan.

Apa yang dititahkan oleh Tengku Mahkota Pahang bukanlah seruan untuk menentang Persekutuan, jauh sekali mempersoalkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan. Sebaliknya, titah tersebut membawa semangat untuk mengembalikan federalisme kepada roh asalnya, iaitu hubungan perkongsian kuasa yang saling menghormati antara pusat dan negeri.

Dalam titah baginda, antara perkara paling signifikan ialah apabila baginda menzahirkan rasa prihatin terhadap “keadilan undang-undang Persekutuan yang tidak berpihak kepada hak-hak negeri saya.”

Ungkapan ini sangat besar maknanya kerana ia menunjukkan wujud persepsi bahawa struktur federalisme Malaysia hari ini terlalu tertumpu kepada pusat sehingga negeri-negeri semakin terbatas untuk menentukan keutamaan pembangunan masing-masing.

Baginda turut mengingatkan bahawa Pahang merupakan antara empat negeri terawal membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada ketika itu, hasil negeri-negeri disatukan dan diagihkan semula mengikut keperluan setiap negeri.

Ini menunjukkan bahawa semangat federalisme asal sebenarnya dibina atas konsep perkongsian hasil dan tanggungjawab, bukannya pemusatan mutlak kuasa fiskal di tangan kerajaan pusat.

Sebagai wakil rakyat di Pahang, saya berpandangan bahawa titah ini sangat berasas. Negeri Pahang memikul tanggungjawab besar dalam menjaga hutan simpan, kawasan tadahan air, gunung-ganang dan biodiversiti yang menjadi aset strategik negara.

Kita mengekalkan keluasan hutan demi kestabilan ekosistem nasional, tetapi pengorbanan tersebut tidak diterjemahkan dalam bentuk pulangan fiskal yang setimpal kepada negeri.

Perkara ini turut mendapat sokongan ramai ahli akademik dan penganalisis yang melihat bahawa isu federalisme Malaysia perlu dibincangkan secara lebih serius.

Pensyarah Pusat Pengajian Polisi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof menyatakan bahawa: “Suara institusi diraja dalam isu ini menunjukkan ketidakseimbangan fiskal negara kini berada pada tahap yang tidak boleh diabaikan.”

Beliau turut menegaskan bahawa: “Dalam praktik fiskal, kebanyakan hasil besar seperti cukai pendapatan, cukai korporat, kastam, eksais dan pelbagai levi strategik dikumpulkan di pusat, manakala negeri bergantung kepada hasil tanah, premium dan geran yang lebih kecil.”

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa negeri-negeri mempunyai tanggungjawab pembangunan yang besar tetapi kapasiti kewangan yang jauh lebih kecil.

Selain itu, Profesor Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia turut menyatakan bahawa: “Negeri sering berdepan situasi apabila mereka menanggung kos pembangunan dan pengurusan sumber tetapi tidak menikmati pulangan yang dianggap setimpal.”

Beliau turut mengakui bahawa negeri-negeri kaya sumber seperti Pahang mempunyai asas yang munasabah untuk menuntut semakan semula agihan hasil.

Sementara itu, Misrinah Misban daripada Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia pula menegaskan bahawa: “Titah ini amat signifikan kerana ia membawa maksud bahawa konsep federalisme asal di Tanah Melayu sebenarnya dibina atas semangat perkongsian kuasa dan hasil antara pusat dengan negeri, bukannya pemusatan mutlak kuasa fiskal di tangan Kerajaan Persekutuan.”

Pandangan-pandangan ini membuktikan bahawa titah Tengku Mahkota Pahang bukan pandangan sembarangan, malah turut disokong oleh hujah akademik, prinsip Perlembagaan dan realiti pentadbiran negara.

Dalam isu eksport pasir sungai misalnya, Tengku Mahkota Pahang menzahirkan rasa kecewa apabila usaha negeri untuk meningkatkan hasil tidak diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sedangkan urusan tanah dan pasir berada di bawah bidang kuasa negeri menurut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Ini bukan sekadar isu ekonomi semata-mata. Sungai perlu didalamkan dan mendapan pasir perlu dikeluarkan bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir. Negeri bukan sahaja mahu menjana hasil, tetapi juga mengurus alam sekitar secara lebih berkesan. Maka, apabila ruang tersebut disekat, sudah tentu timbul persoalan tentang sejauh mana hak negeri benar-benar dihormati.

Begitu juga dalam soal projek pembangunan. Tengku Mahkota Pahang mahu lebih banyak peluang diberikan kepada syarikat dan kontraktor tempatan yang berasal dari negeri Pahang.

Ini merupakan tuntutan yang munasabah kerana pembangunan negeri seharusnya turut mengembangkan ekonomi rakyat tempatan dan melahirkan kapasiti industri anak negeri sendiri.

Apa yang lebih penting, titah baginda turut memberikan isyarat bahawa kerajaan negeri perlu meneliti saluran undang-undang sekiranya hak negeri terus dipinggirkan. Ini ialah hak yang sah dalam sistem federalisme.

Perlembagaan Persekutuan sendiri menyediakan ruang untuk pertikaian antara negeri dan Persekutuan dibawa ke Mahkamah Persekutuan sekiranya melibatkan soal bidang kuasa atau hak negeri.

Sebab itu, saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya satu perbincangan nasional yang serius diadakan mengenai reformasi federalisme Malaysia. Kita perlu meneliti semula formula pemberian kewangan kepada negeri, memperkukuh autonomi fiskal negeri, memperkenalkan pampasan ekologi kepada negeri yang menjaga hutan dan tadahan air serta mengurangkan birokrasi pusat dalam projek pembangunan negeri.

Jika semangat federalisme yang lebih adil ini dapat dilaksanakan, maka hubungan antara pusat dan negeri akan menjadi lebih matang, stabil dan harmoni. Namun, jika suara negeri terus dipinggirkan, maka jurang ketidakpuasan hati antara negeri dan pusat akan terus melebar dari semasa ke semasa.

Sebagai wakil rakyat negeri Pahang, saya percaya titah Tengku Mahkota Pahang ini ialah suara yang perlu didengar dengan serius demi masa depan federalisme Malaysia yang lebih adil, seimbang dan berteraskan semangat Perlembagaan.

** Datuk Andansura Rabu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Pahang.

 

 

View Original Article