JOHOR BAHRU – Bersatu Johor menyifatkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengenai cadangan pemulangan sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai kepada Johor sebagai langkah tepat demi masa depan negeri itu.
Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Johor sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara berhak menerima pulangan lebih adil bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, sektor perindustrian, pelabuhan, logistik, pelancongan dan perdagangan antarabangsa yang berkembang pesat di Johor banyak menyumbang kepada ekonomi negara, namun dalam masa sama negeri itu turut berdepan peningkatan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Pemulangan sebahagian hasil cukai ini penting supaya kerajaan negeri mempunyai keupayaan kewangan lebih kukuh untuk mempertingkat infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.
“Ia juga selaras dengan semangat federalisme yang lebih seimbang antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kedudukan Johor sebagai pintu selatan negara dan negeri yang sedang pesat membangun memerlukan kerjasama lebih adil antara kedua-dua pihak demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat secara langsung.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor tanpa mengira fahaman politik supaya bersama-sama menyokong titah tersebut demi kepentingan negeri.
Katanya, dengan majoriti 52 ADUN kerajaan yang terdiri daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam jajaran Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, usaha merealisasikan tuntutan itu sewajarnya dapat dilaksanakan segera.
“Johor bukan sahaja penyumbang besar kepada ekonomi negara, tetapi juga wajar menikmati pulangan yang setimpal demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya.
Minggu lalu, ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan DUN Johor ke-15, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini.
Baginda mengulangi gesaan itu supaya Johor tidak terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat.






