FELCRA umum agihan keuntungan interim kedua RM190.6 juta kepada hampir 72,000 peserta

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 1:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

FELCRA umum agihan keuntungan interim kedua RM190.6 juta kepada hampir 72,000 peserta Image from: FELCRA umum agihan keuntungan interim kedua RM190.6 juta kepada hampir 72,000 peserta sarah29/10/2026 - 13:02

KUALA LUMPUR 29 Okt - FELCRA Berhad mengumumkan agihan keuntungan boleh agih interim kedua bagi 2026 berjumlah RM190.6 juta, meningkat 50.2% berbanding agihan pertama pada Julai lalu, yang bakal memanfaatkan hampir 72,000 peserta di seluruh negara.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu meningkat RM63.7 juta berbanding RM126.9 juta yang diagihkan kepada peserta menerusi agihan keuntungan interim pertama.

 

“Agihan bagi tempoh Mei hingga Ogos 2026 itu akan memanfaatkan hampir 72,000 peserta melibatkan 734 projek di seluruh negara, dengan pembayaran kepada peserta yang layak dibuat secara berperingkat mulai hari ini,” katanya.

 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan FELCRA di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

 

Mengenai kebajikan peserta B40 yang terlibat dalam program penanaman semula, Ahmad Zahid mahu FELCRA menyediakan bantuan khas sepanjang tempoh menunggu tanaman baharu mengeluarkan hasil, khususnya menjelang Aidilfitri.

 

Beliau turut mengarahkan FELCRA memastikan tanah milik peserta terus memberikan pulangan yang baik meskipun berdepan perubahan keadaan pasaran.

 

“Harga komoditi dan keadaan cuaca mungkin di luar kawalan kita, tetapi produktiviti ladang, kos operasi dan standard pengurusan merupakan tanggungjawab yang perlu dikendalikan secara cekap dan berdisiplin.

 

“Penjimatan kos mesti dilakukan dengan mengurangkan pembaziran dan mengamalkan perolehan berhemat. Bagi projek yang terus mencatatkan pulangan rendah, saya mahu FELCRA mengenal pasti puncanya dan menyediakan pelan penambahbaikan dengan sasaran yang jelas,” katanya.

 

Ahmad Zahid berkata, peserta juga perlu diberikan penjelasan yang jelas dan mudah difahami mengenai prestasi projek masing-masing, termasuk hasil pengeluaran, kos pengurusan serta kaedah pengiraan agihan keuntungan.- Bernama

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved