
TAMPIN: Campur tangan politik dalam pengurusan Felda menyebabkan agensi itu yang suatu ketika dahulu menjana keuntungan berbilion ringgit kini dibebani hutang hampir RM10 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Felda pernah muncul sebagai organisasi perladangan terbesar di dunia yang menjana keuntungan berbilion ringgit setiap tahun selain memberi pulangan lumayan kepada lebih 100,000 keluarga peneroka.
Katanya, kini kerajaan perlu menanggung pembayaran kira-kira RM980 juta setahun bagi melunaskan kos perkhidmatan hutang agensi berkenaan.
“Saya mengambil tanggungjawab menguruskan Felda ketika agensi itu dibebani hutang hampir RM10 bilion.
“Ini bukan soal politik, tetapi hakikat yang berlaku,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Felda mencapai zaman kegemilangannya ketika diterajui pengerusi pengasasnya, Allahyarham Tun Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali dan pengerusi kedua, Allahyarham Tan Sri Taib Andak yang dilantik Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Beliau berkata, pengurusan yang cekap ketika itu membolehkan Felda menjadi organisasi perladangan terbesar dunia dengan keuntungan berbilion ringgit setiap tahun, sekali gus memberi manfaat kepada peneroka dan keluarga mereka.
Bagaimanapun, Anwar berkata, keadaan mula berubah kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu susulan pertukaran kepimpinan dan campur tangan politik yang berlebihan sehingga organisasi yang sebelum ini mencatat keuntungan berbilion ringgit akhirnya mengalami kerugian.
“Orang bertanya ke mana perginya wang itu. Hari ini kerajaan membayar kira-kira RM980 juta setahun hanya untuk membayar perkhidmatan hutang Felda,” katanya.
Beliau menegaskan kemelut kewangan Felda bukan berpunca daripada peneroka, sebaliknya disebabkan kegagalan pihak yang diberi amanah untuk menguruskan agensi itu.
“Kita perlu tanya apa yang silap. Adakah kerana peneroka tidak bekerja kuat? Tidak. Masalahnya ialah mereka yang diberi amanah untuk menguruskan organisasi itu telah mengkhianati amanah tersebut,” katanya. – UTUSAN
The post Felda tanggung rugi RM10 bilion akibat campur tangan politik appeared first on Utusan Malaysia.




