Fenomena Gerhana Bulan Penuh Dijangka Berlaku Pada 7-8 September

WorldSpace
2 Sep 2025 • 6:21 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh yang dikenali sebagai Blood Moon dijangka berlaku pada malam 7 September hingga awal pagi 8 September 2025.

image is not available

Gerhana ini akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 11.28 malam di mana bayang bumi mula menutupi permukaan bulan. Ia kemudian diikuti dengan fasa separa yang bermula pada pukul 12.26 pagi apabila sebahagian daripada bulan mula kelihatan gelap.

Fasa penuh dijangka bermula pada pukul 1.30 pagi dan mencapai kemuncaknya sekitar pukul 2.11 pagi. Selepas itu, fasa penuh akan berakhir pada pukul 2.53 pagi diikuti dengan tamatnya fasa separa pada pukul 3.56 pagi. Keseluruhan gerhana dijangka berakhir sepenuhnya pada pukul 4.55 pagi.

image is not available

Fenomena ini berlaku beberapa hari sebelum bulan berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi iaitu sekitar 364,773 kilometer. Ketika fasa penuh, bulan mungkin kelihatan berwarna merah atau jingga. Warna ini terhasil apabila cahaya matahari dibias oleh atmosfera bumi lalu menghasilkan kesan yang dikenali sebagai Blood Moon.

image is not available

Gerhana ini dijangka dapat disaksikan dari pelbagai kawasan di dunia seperti Eropah, Afrika, Asia, Australia dan New Zealand. Di Malaysia, fasa penuh boleh dilihat dengan mata kasar atau teleskop bergantung kepada keadaan cuaca semasa.