Fenomena langit 'merah' pagi tadi cetus perbualan ramai

11 Mar 2026 • 12:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fenomena langit kemerah-merahan pada waktu pagi yang tular di media sosial pada Rabu mencetuskan perbualan dalam kalangan warga maya. Foto tular

SHAH ALAM – Fenomena langit kemerah-merahan pada waktu pagi yang tular di media sosial pada Rabu mencetuskan perbualan dalam kalangan warga maya yang mengaitkannya dengan malam Lailatulqadar.

Menerusi satu hantaran di platform Thread oleh pengguna dikenali sebagai @farisfoxz, dia memuat naik pemerhatian mengenai keadaan langit yang luar biasa itu.

Menurutnya, langit yang kelihatan kemerah-merahan tersebut dikaitkan oleh sesetengah pihak sebagai antara tanda berlakunya malam Lailatulqadar.

“Masya-ALLAH cuba tengok langit sekarang kemerah-merahan. Kalau ikutkan ini antara tanda-tanda Lailatulqadar. Kalau betul Alhamdulillah, moga diterima semua amal kita dan dimakbulkan segala hajat kita,” katanya.

Seorang pengguna, @lilo_kmz, turut memuat naik gambar matahari pada waktu pagi sambil mengaitkannya dengan kemungkinan malam sebelumnya merupakan malam istimewa tersebut.

“Ya ALLAH, tengok matahari pagi ini. Beruntungnya siapa yang bangun malam tadi solat. Adakah malam tadi Lailatulqadar? Kalau ya Alhamdulillah, kalau bukan jom kita buru lagi,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, @hisyamlois, menyatakan keadaan langit berwarna merah jambu pada waktu pagi jarang berlaku sehingga menimbulkan persoalan sama ada malam sebelumnya merupakan malam Lailatulqadar.

“Jarang-jarang langit pagi berwarna ‘pink’. Adakah semalam Al-Qadr?” tulisnya.

Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi gambar keadaan langit di beberapa kawasan.

Dalam Islam, malam Lailatulqadar merupakan malam istimewa yang berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan dan umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah bagi merebut ganjaran pahala yang lebih baik daripada seribu bulan.