Kes pijak al-Quran, apakah hukuman paling setimpal?

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 10:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 8.50 pagi pada Selasa.

KES memijak al-Quran yang tular di media sosial baru-baru ini kembali menguji sensitiviti masyarakat dan ketegasan sistem perundangan negara.

Dalam negara berbilang agama seperti Malaysia, isu melibatkan kitab suci bukan sekadar kontroversi biasa, sebaliknya menyentuh soal maruah, keharmonian dan kestabilan sosial.

Isu penghinaan terhadap al-Quran bukan perkara kecil yang boleh dipandang enteng, sebaliknya jelas mencetuskan kemarahan umat Islam.

Setiap kali insiden seumpama ini berlaku, ia bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam, malah menggugat keharmonian masyarakat majmuk yang sekian lama dipelihara di negara ini.

Kes terbaharu melibatkan seorang penuntut institusi pengajian tinggi yang didakwa memijak dan mencemar al-Quran serta menghantar komunikasi jelik akhirnya membawa individu tersebut ke muka pengadilan.

Pada Selasa, penuntut lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan berkaitan mencemar al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik yang melampau menerusi media sosial baru-baru ini.

Perkembangan terbabit menjadi peringatan jelas bahawa undang-undang tidak pernah tidur.

Bagaimanapun, persoalan yang mungkin timbul ialah sama ada hukuman berat atau ringan wajar dikenakan dalam kes seperti ini.

Dalam konteks kes yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menggugat keharmonian awam, hukuman berat dilihat lebih memberi kesan sebagai pengajaran dan pencegahan.

Jika perbuatan dilakukan secara sengaja dengan niat menghina serta mencetuskan provokasi, maka hukuman setimpal perlu dikenakan.

Tanpa ketegasan, mesej yang sampai kepada masyarakat seolah-olah kesalahan sebegini boleh dipandang ringan dan diselesaikan dengan sekadar permohonan maaf.

Perbandingan boleh dilihat dalam kes-kes lain membabitkan institusi agama seperti kecurian tabung masjid di Masjid Kristal Seksyen 7, Shah Alam pada 22 Februari lepas.

Tiga daripadanya dihukum penjara selama enam bulan dan denda RM4,000, manakala seorang lagi tertuduh yang merupakan remaja bawah umur ditetapkan untuk serahan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum Mahkamah Majistret Shah Alam menjatuhkan hukuman.

Walaupun peguam mewakili tiga lelaki memohon penangguhan dan menyifatkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda RM4,000 sebagai keterlaluan, namun majistret telah menolak permohonan berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap pesalah sebagai peringatan bahawa kesalahan melibatkan rumah ibadat tidak boleh dikompromi.

Walaupun kesalahan berbeza, prinsipnya sama apabila institusi atau simbol agama dipersendakan atau dicerobohi, undang-undang mesti bertindak tegas.

Hukuman bukan sekadar menghukum individu, tetapi mendidik masyarakat tentang batas yang tidak boleh dilanggar.

Hanya melalui ketegasan dan hukuman berat yang setimpal, mesej pencegahan dapat disampaikan dengan jelas demi memelihara keamanan serta keharmonian negara.